SHAH ALAM – Pembinaan Masjid Warisan di kawasan Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur seharusnya dilihat sebagai simbol keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan pembangunan nilai masyarakat, bukannya dijadikan isu sehingga mencetuskan ketidakharmonian.
Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Hasri Harun berkata, pihaknya memandang serius kenyataan veteran DAP, Datuk Teng Chang Khim mengenai pembinaan masjid berkenaan.
“WADAH berpandangan kenyataan beliau tidak mencerminkan semangat saling menghormati, kefahaman terhadap sejarah dan kedudukan Islam dalam negara serta aspirasi pembinaan sebuah masyarakat majmuk yang harmoni.
“Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, di samping agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
“Justeru, pembinaan masjid sebagai institusi ibadah, pendidikan dan pembangunan masyarakat adalah sebahagian daripada hak dan identiti negara yang tidak sepatutnya dipolemikkan secara sempit,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Katanya, masjid bukan sekadar tempat solat, malah menjadi pusat pembinaan tamadun, perpaduan, kebajikan dan pengukuhan nilai kemanusiaan.
Menurutnya, sejarah Islam membuktikan bahawa masjid berfungsi sebagai pusat ilmu, dialog, pembangunan ekonomi dan penyelesaian masalah masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
“Dalam konteks pembangunan TRX sebagai mercu tanda kewangan dan kemajuan negara, kewujudan sebuah Masjid Warisan mampu menjadi simbol keseimbangan antara pembangunan material dan pembangunan spiritual.
“Kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui bangunan pencakar langit dan kemajuan ekonomi, tetapi juga melalui kekuatan nilai, akhlak dan identiti kebudayaan yang menjadi asas pembinaan bangsa.
“WADAH menyeru semua pihak agar mengelakkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan antara agama dan kaum. Sebaliknya, budaya dialog, saling menghormati dan memahami kerangka Perlembagaan Persekutuan hendaklah menjadi asas dalam menangani isu-isu berkaitan kepentingan awam,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, pembinaan sebuah Negara Madani menuntut setiap pihak menghormati hak dan sensitiviti masyarakat berbilang kaum serta mengelakkan retorik yang boleh menghakis keharmonian nasional.
Justeru katanya, WADAH menyokong segala usaha pembangunan yang menggabungkan kemajuan ekonomi dengan pembangunan rohani dan pembinaan akhlak masyarakat.
“Masjid Warisan di TRX berpotensi menjadi lambang bahawa Malaysia mampu mengimbangi kemodenan dengan nilainilai luhur yang menjadi asas pembinaan tamadunnya.
“Kami berharap semua pihak dapat mengutamakan kebijaksanaan, kesederhanaan dan semangat muafakat dalam membincangkan isu ini demi memelihara perpaduan dan kestabilan negara,” katanya.
Terdahulu, Teng Chang Khim melalui satu hantaran di media sosial menggesa cadangan pembinaan Masjid Warisan dibatalkan kerana mendakwa ia berpotensi menimbulkan ketidakharmonian dan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya lagi, perancangan pembinaan masjid terbabit akan membawa pertembungan aktiviti kebudayaan dalam satu kawasan yang dibangunkan sebagai pusat komersial dan hiburan yang rancak di Kuala Lumpur.



