mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sukan berbasikal trek negara kini berdepan ancaman ‘sabotaj’ domestik yang didakwa didalangi oleh gerakan rahsia bertujuan melumpuhkan sistem pembangunan sukan tersebut menjelang temasya besar.
Pendedahan berani itu dibongkar oleh jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, yang mendakwa wujud pakatan tertentu untuk menyingkirkan Pengarah Teknikal Sukan Berbasikal Negara, John Beasley, demi agenda peribadi.
Lebih mengejutkan, pelumba yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu mendedahkan misi utama gerakan terbabit adalah untuk melihat Beasley keluar, sekali gus membiarkan sukan berbasikal negara runtuh.
“Saya mempertahankan JB (John Beasley) kerana saya tahu mereka-mereka yang hendak menjatuhkan JB ini bukannya mempunyai hasrat untuk menaikkan sukan ini pun. Misi mereka hanya mahu membuang JB dan selepas itu saya percaya sukan ini akan terkontang-kanting,” tegasnya.
Menurut Azizulhasni, kontroversi kononnya Beasley mahu meletak jawatan serta-merta adalah satu fitnah yang sengaja direka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengganggu fokus skuad kebangsaan menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia.
“Dari mana datangnya cakap-cakap seperti itu, sudah tentulah dari mereka-mereka yang suka bergosip dan melontar hantaran fitnah, itulah kerja mereka.
“Orang seperti JB ini memandang serius akan tanggungjawab yang dipegang dan mana mungkin beliau buat kerja sekerat jalan sahaja. Saya faham benar dan tahu yang beliau akan selesaikan dahulu ‘unfinished business’ kerana hanya orang ‘high performance’ sahaja yang faham mentaliti orang ‘high performance’,” katanya.
Membongkar punca utama isu tersebut, pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu mendedahkan konflik bermula apabila dua bekas jurulatih kebangsaan masing-masing ada antaranya dipecat akibat salah laku dan seorang lagi ditamatkan kontrak sebelum melancarkan agenda ‘dendam peribadi’ (vendetta) terhadap Beasley.
“Persoalannya kenapa dengan tiba-tiba baru keluar buat vendetta terhadap John ni setelah sekian lama? Itu persoalan yang perlu dirungkai.
“Dahulu beliau (Beasley) lebih bersikap agresif untuk menegakkan perkara yang sepatutnya, namun apabila sesetengahnya tidak berhasil jadi beliau lebih ‘tone down’ dan tukar untuk fokus kepada kawal apa yang boleh dikawal sahaja,” jelasnya lagi.
Azizulhasni mendakwa pakatan menyingkirkan pakar dari Australia itu menjadi semakin agresif selepas Beasley secara lantang mempersoalkan isu ketirisan hak serta kebajikan sukan berbasikal negara baru-baru ini.
Kemuncak kepada cubaan ‘sabotaj’ sistemik ini dikesan dalam satu sesi dialog (townhall) yang sepatutnya menjadi jalan penyelesaian, namun didakwa sengaja dimanipulasi oleh pihak penganjur dan moderator menjadi sebuah ‘wayang’ kosong.
“JB cerita yang beliau kecewa kerana dipenghujungnya tidak ada apa-apa solusi pun yang dicapai dan seperti hanya membuang masa sahaja. Mungkinkah sesi itu dibuat seperti wayang sahaja? Okay kita dah buat perjumpaan dan sudah berbincang ya, tutup kes. Penyelesaiannya apa? Yilekk.
“Beliau (Beasley) juga kecewa kerana dua kepala yang sepatutnya memainkan peranan penting didalam sesi itu bagi beliau tidak memainkan peranan yang sepatutnya kerana dilihat lebih ‘play safe’. Banyak wayang sebenarnya, kalau diorang betul-betul nak selesaikan, dah boleh selesai sebenarnya,” ujarnya menzahirkan rasa jengkel.
Menyedari impak besar pembongkaran ini, Azizulhasni menegaskan dia tidak gentar mempertahankan Beasley malah sedia berdepan risiko termasuk rancangan pihak tertentu untuk menjatuhkan karier serta reputasinya.
Dia turut menjangka kumpulan terbabit akan menggunakan keputusan Sukan Komanwel dan Sukan Asia nanti sebagai peluru fitnah untuk menghentam dirinya sekiranya prestasi negara merosot.
© New Straits Times Press (M) Bhd




