PM UK berdepan tekanan berundur

PM UK berdepan tekanan berundur

LONDON – Perdana Menteri United Kingdom, Keir Starmer, dilaporkan berdepan tekanan untuk meletak jawatan seawal Isnin ini, namun kerajaan menegaskan beliau masih memberi tumpuan kepada tugas mentadbir negara.

Laporan akhbar The Observer mendakwa Starmer sedang mempertimbangkan pengunduran serta menetapkan jadual peralihan kuasa selepas perbincangan dengan ahli keluarga dan beberapa tokoh kanan politik.

Namun, seorang sumber kerajaan menafikan perkara itu dan menyatakan Starmer kekal fokus terhadap tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri, selain merujuk kepada kenyataan beliau sebelum ini bahawa beliau akan terus mempertahankan kedudukannya.

Tekanan terhadap kepimpinan Starmer dilaporkan semakin memuncak selepas lebih 100 Ahli Parlimen Parti Buruh menyuarakan sama ada desakan supaya beliau berundur atau menetapkan garis masa peralihan kuasa.

Situasi ini turut dikaitkan dengan prestasi politik beliau yang semakin merosot sejak kemenangan besar Parti Buruh pada pilihan raya 2024, susulan beberapa isu dalaman serta perubahan dasar yang mencetuskan ketidakpuasan dalam kalangan pengundi.

Dalam perkembangan berkaitan, Andy Burnham, yang baru memenangi pilihan raya kecil Parlimen, dilihat sebagai calon paling berpotensi untuk mengambil alih kepimpinan Parti Buruh.

Burnham, yang juga Datuk Bandar Greater Manchester, belum mengumumkan secara rasmi pencalonannya, namun sekutu beliau dilaporkan menggesa agar Starmer berundur secara sukarela bagi mengelakkan perebutan kuasa dalaman.- Agensi

 

Scroll to Top