Anggrek juara TTMM 2

Anggrek juara TTMM 2

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Shah Alam : Bakat cilik, Anggrek, 9, bersama pengurus yang juga ibunya, Adira Suhaimi dinobatkan juara program realiti, Talk To My Manager musim kedua (TTMM 2) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, malam tadi.

Menerusi kemenangan itu, Anggrek membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, barangan kemas, pakej penginapan, tajaan pengurusan dan pemasaran bernilai RM50,000 serta peluang merakamkan lagu baharu serta trofi.

Manakala naib juara milik Hussain dan pengurusnya, Jamilul Hayat menerima RM15,000, barangan kemas, pakej penginapan, tajaan pengurusan dan pemasaran RM25,000, lagu baharu dan trofi.

Bagi tempat ketiga, Cik B bersama pengurus tersayang, Datuk Seri Vida menerima RM10,000, barangan kemas, pakej penginapan, tajaan pengurusan dan pemasaran sebanyak RM25,000, lagu baharu dan trofi.

Sementara itu, peserta popular Azeva Natassha dengan pengurus, Datuk A Aida keempat menerima RM5,000, pakej penginapan serta trofi dan kelima Kim Khairii juga pengurusnya Safura juga memperolehi RM5,000, pakej penginapan dan trofi.

TTMM 2 turut membariskan peserta lain, namun sudah tersingkir iaitu Althea dan pengurus, Nana Mahazan, diikuti Viviana bersama Ani Mayuni, Fariedz Fazly dan Datuk Fazley Yaakob, Ratu juga Linda Jasmine serta Ammara dengan Azad Jazmin.

Selama 10 minggu persaingan, TTMM 2 dikendalikan oleh pengacara berpengalaman, Datuk Aznil Nawawi dengan barisan juri tetap yang terdiri daripada Che Puan Sarimah Ibrahim dan Datuk AC Mizal.

Turut memeriahkan pusingan Grand Final itu penampilan juri undangan seperti Datuk Syafinaz Selamat dan Hael Husaini. Persembahan peserta dirancakkan lagi dengan pembabitan barisan penyanyi jemputan seperti Aman Ra, Aisha Retno, Hafiz Suip, Datin Alyah dan MK K-Clique.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top