Mahkamah tetapkan 1 Julai pengurusan kes wanita serang Sultan Nazrin

Mahkamah tetapkan 1 Julai pengurusan kes wanita serang Sultan Nazrin

Ipoh: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 1 Julai depan bagi pengurusan kes seorang wanita yang didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri tahun lalu

Majistret Norizan Ridzuan menetapkan tarikh itu bagi merekodkan pengakuan daripada Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 41.

Pada 8 Oktober tahun lalu, mahkamah itu menolak pengakuan bersalah tertuduh selepas dimaklumkan pihak pendakwaan bahawa laporan daripada Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta di sini menyatakan wanita itu menghidap skizofrenia dan tidak waras ketika kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Nishaalini manakala tertuduh diwakili peguam Amrick Singh Sandu.

Wanita itu didakwa atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin dengan cuba menyerang baginda di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab pada 8.20 pagi, 31 Ogos tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 8 September tahun lalu, dia dihadapkan ke mahkamah sama, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh diperintahkan menjalani pemeriksaan serta pemantauan di Hospital Bahagia selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top