Menteri dah jawab dakwaan 'pintu belakang' kemasukan IPTA – Ketua Setiausaha KPT

Menteri dah jawab dakwaan 'pintu belakang' kemasukan IPTA –  Ketua Setiausaha KPT

am@hmetro.com.my

Kangar: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) enggan mengulas lanjut dakwaan kemasukan ‘pintu belakang’ pelajar ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Ketua Setiausaha KPT, Datuk Aminuddin Hassim berkata, perkara itu sudah pun dijawab Menteri Pendidikan Tinggi sebelum ini.

Katanya, pihak kementerian juga sudah memberikan ulasan rasmi berhubung isu berkenaan.

“Oh, itu kita tidak boleh komen sekaranglah. Yang Berhormat Menteri pun sudah membuat kenyataannya.

“Kita pun, kementerian sudah memberi ulasan kita, jadi di situ kita tidak buka (ulasan) di sinilah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan kerja sempena pendaftaran pelajar baharu di Politeknik Tuanku zsyed Sirajuddin , di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah mendakwa IPTA masa kini membuka ‘pintu belakang’ kepada individu tidak layak tetapi berkemampuan untuk membayar yuran penuh.

Dakwaan itu tular menerusi satu rakaman ceramah yang menyatakan bahawa pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan matrikulasi dinafikan tempat dalam program kritikal akibat agenda penjualan tempat oleh pihak universiti.

Menyentuh berkenaan persediaan pendaftaran pelajar di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di sini, Aminuddin berkata, segala persiapan bagi menyambut kemasukan penuntut baharu berjalan dengan lancar dan teratur.

Beliau melihat keterujaan ibu bapa yang hadir walaupun berasa sedih untuk melepaskan anak masing-masing.

“Kita pastikan segala persiapan dan keperluan anak-anak daripada segi penginapan serta bilik semuanya bersedia untuk mereka melanjutkan pelajaran dengan selesa dan mudah di politeknik ini.

“Saya berharap pelajar dapat mengambil masa dalam seminggu ini untuk mengadaptasikan diri dengan kehidupan sebenar seorang siswa dan siswi sebelum memulakan sesi akademik sepenuhnya,” katanya.

Lebih 1,000 pelajar baharu mendaftarb agi memulakan pengajian pada tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top