am@hmetro.com.my
Johor Bharu : Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mengesahkan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, 11 Julai ini.
Menteri Besar Johor Ke-17 itu mengakui bersedia bertanding di kerusi berkenaan, namun keputusan akhir akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Insya-Allah (pertahankan kerusi DUN Bukit Kepong). Doakan saya.
“Tapi, kena tunggu dahulu pengumuman senarai semua calon yang akan dibuat dalam masa terdekat ini,” katanya kepada NST/BH.
Pada PRN Johor Ke-15 pada 2022, Dr Sahruddin memenangi kerusi DUN Bukit Kepong dengan majoriti 710 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan senarai calon Bersatu yang akan bertanding dalam PRN Johor sedang diteliti pucuk pimpinan parti.
“Senarai semua nama calon yang berpotensi untuk diketengahkan sedang diteliti dan apabila telah dimuktamadkan akan diumumkan segera,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini menetapkan PRN Johor diadakan pada 11 Julai ini, manakala hari penamaan calon dan pengundian awal, masing-masing pada 27 Jun dan 7 Julai ini.
PRN Johor mempertandingkan sebanyak 56 kerusi DUN.
© New Straits Times Press (M) Bhd




