am@hmetro.com.my
Shah Alam: Penerima program Baucar Kita Selangor yang layak perlu mengesahkan maklumat secara dalam talian menerusi portal rasmi www.baucarkitaselangor.com, mulai jam 12 tengah hari esok.
Menteri BesarDatuk Seri, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri juga memberikan ruang khas kepada ibu tunggal yang terpaksa bekerja sambil menyara anak dengan pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah untuk turut memohon bantuan berkenaan dengan melayari portal yang sama.
“Susulan kepada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang dibentangkan dalam Dewan Negeri Selangor pada Jumaat yang lalu, kerajaan negeri melancarkan Baucar Kita Selangor bagi melindungi rakyat daripada terkesan akibat krisis bekalan global.
“Dengan peruntukan sebanyak RM30 juta, Baucar Kita Selangor akan menyalurkan RM100 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada 50,000 keluarga di Selangor agar sebarang risiko peningkatan harga barang tidak mendatangkan impak negatif
kepada kehidupan rakyat.
“Latar belakang 50,000 keluarga ini diperoleh daripada mereka yang telah memohon tetapi belum menerima bantuan kerajaan negeri seperti BINGKAS, serta daripada penyelarasan daripada agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri termasuk Jabatan
Kebajikan Masyarakat dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor,” katanya di Wisma Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, selain program Baucar Kita Selangor, kerajaan negeri juga meneruskan program BINGKAS yang menyalurkan RM300 sebulan kepada 30,000 keluarga sebagai bantuan supaya keluarga-keluarga ini tidak jatuh ke dalam kepompong kemiskinan.
Katanya, secara keseluruhan, Selangor memperuntukkan RM138 juta sebagai bantuan terus kepada rakyat supaya sebarang risiko peningkatan kos sara hidup tidak membawa kesan drastik kepada rakyat.
“Meskipun begitu, pemberian bantuan seumpama tunai bersifat jangka masa
pendek dan akan disekalikan dengan kerangka besar pemberdayaan rakyat yang merupakan tekad kerajaan negeri agar rakyat tidak bergantung kepada bantuan kerajaan buat jangka masa panjang,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, pemberian bantuan Baucar Kita Selangor berjumlah RM100 setiap bulan selama enam bulan memberi keutamaan kepada keluarga miskin, individu hilang kerja, golongan rentan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta ibu tunggal.
Bahagian Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dalam kenyataan berkata, kerajaan negeri pada masa ini masih belum membuka permohonan Program Baucar Kita Selangor kepada umum.
Sebaliknya, program bantuan ini akan dilaksanakan secara bersasar kepada kumpulan penerima yang sudah dikenal pasti berdasarkan data dan senarai yang dibekalkan oleh agensi-agensi berkaitan.
“Antara kumpulan yang terlibat adalah isi rumah miskin dalam pangkalan data eKasih, pekerja yang diberhentikan kerja, golongan rentan yang berdaftar dengan JKM serta ibu tunggal yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.
“Penerima yang layak akan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) secara berperingkat bermula 23 Jun ini bagi membolehkan mereka membuat pengesahan maklumat dan mengemukakan permohonan melalui Portal Baucar Kita Selangor berserta dokumen sokongan yang diperlukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




