PETALING JAYA: Penyanyi Harith Zazman mengakui identiti dirinya sukar dipisahkan daripada lagu Cute berikutan tanggapan peminat yang sering melabelnya sebagai penyanyi lagu bergenre sedemikian biarpun sudah tampil dengan pelbagai lagu solo terbaharu.
Harith atau Mohamad Harith Saifuzzaman, 32, berkata, dia bagaimanapun tidak ralat dengan perkara itu dan memilih untuk terus menghasilkan karya mengikut kepuasan tersendiri demi peminatnya.
“Saya hanya mengeluarkan sahaja lagu yang saya suka dan berharap mereka juga akan menyukainya. Ini kerana peminat pastinya akan tertanya-tanya sama ada saya akan melancarkan lagu bergenre sama seperti lagu Cute lagi selepas ini.
“Saya cuba untuk meninggalkan lagu itu. Pada masa yang sama, saya mahu membawa era baharu yang berbeza dalam kerjaya muzik saya,” katanya.
Harith berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui pada sidang media Sempurna di Universal Music Malaysia, pada Khamis.
Tambah Harith, biarpun dia bersedia untuk melangkah ke hadapan, impak lagu berkenaan terlalu besar sehingga peminat sentiasa mengaitkan dirinya dengan lagu tular pada tahun 2020 tersebut setiap kali mereka bertemu.
“Setiap kali bertemu peminat, mereka pasti akan meminta saya menyanyikan semula lagu itu. Lagu tersebut memberi kesan yang sangat besar dalam hidup saya. Apatah lagi, sebelum ini saya menghasilkan lagu tersebut memang khusus untuk isteri saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas lanjut tentang corak penulisan untuk lirik lagu-lagunya, Harith mengakui kisah rumah tangga dan pengalaman peribadi menjadi sumber rujukan utama untuk dia meluahkan rasa dalam lirik lagu.
“Saya rasa saya tidak tahu bagaimana mahu menulis tentang kisah hidup orang lain. Jadi, apa yang saya mampu tulis hanyalah berdasarkan pengalaman dan apa yang saya lalui dalam hidup sendiri,” katanya.
Untuk rekod, lagu Cute yang dilancarkan enam tahun lalu merupakan solo tular yang berjaya menaikkan nama Harith Zazman dalam industri nyanyian sehingga meraih 19 juta tontonan.




