norhayati_nordin@hmetro.com.my
Shah Alam : Kegagalan merangkul gelaran juara Talk To My Manager musim kedua (TTMM 2) menyebabkan penyanyi dan pelakon, Azeva Natassha, 25, akur tidak mendapat hadiah mewah jenama Rolex daripada ibunya, Datuk A Aida.
Menurut Azeva, dia bagaimanapun seronok melihat rakan-rakan lain yang menang seperti Anggrek, Cik B, Hussain dan Kim Khairi yang masing-masing disifatkan menunjukkan kesungguhan berbeza dan berkali ganda lebih besar daripada dirinya.
“Saya memang nak sangat kawan-kawan lain yang menang sebab ‘afford’ mereka macam Hussain dan Kim (Khairii) sangat-sangat berbeza. Anggrek pula dari pagi, petang, siang malam asyik berlatih dan Cik B dengan segala idea datang daripada dia sendiri.
“Memang ‘afford’ ditunjukkan mereka semua saya tengok 10 kali ganda berlebih daripada saya. Jadi, tidak apalah saya tidak menang pun sebab saya tahu mereka semua mesti nak menang. Ya betul, saya sangat ‘happy’ (gembira) dengan kejayaan mereka.
“Malah, saya tidak dapat hadiah Rolex daripada Mama pun tidak apa. Saya sebenarnya cuma hendak bilik air dalam bilik saya diubahsuai sebab ketika proses pengubahsuaian yang dilakukan dulu banyak salah buat dan perlu dibaiki.
“Sinki dalam bilik air saya itu macam hendak terjatuh. Apatah lagi, bilik air dalam bilik saya juga kecil sahaja. Jadi, apa yang diharapkan kepada Mama semoga dapatlah diubahsuai dan baik pulih semula apa yang sudah tidak sesuai di bilik air berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya juga mengenai perancangan karier nyanyiannya pada masa akan datang, Azeva difahamkan bakal merakam semula lagu Sejiwa pada minggu depan yang sebelum ini pernah dipopularkan oleh bapanya, Ameng bersama kumpulan Spring.
Tidak hanya itu, pada 1 Oktober depan pula Azeva dijangka akan muncul dengan filem lakonannya bersama Aniq Suhair di pawagam termasuk mendapat kepercayaan menyanyikan lagu tema (OST) naskhah itu sebagai single keduanya.
Diikuti perkembangan lain perjalanan karier seni Azeva yang memang sudah diatur secara berjadual oleh ibunya, A Aida setiap tiga bulan akan muncul dengan projek-projek terbaharu agar berterusan dan kemunculan gadis ini kekal diingati.
Menurut A Aida, keinginannya mahu Azeva bergelar juara adalah bagi penjenamaan nama anaknya supaya sentiasa diingati ramai sebagai juara, namun sayang tiada rezeki dan itu memang layak menjadi milik Anggrek.
“Kami tidak sedih pun berada di tempat keempat kerana saya sebenarnya tidak fikir bab duit sebab Alhamdulillah, kita ada duit. Cuma kalau jadi juara itu, nama Azeva orang akan cakap dan sentiasa dikenang sepanjang zaman.
“Benda itu (juara) sebenarnya yang bagi saya selalu orang cakap sebagai ‘signature’. Kalau bab duit pula, tidak ke mana pun sebab sekali dia (Azeva) pergi ‘shipping’ pun akan habis RM30,000 ke RM40,000,” katanya ditemui media selepas ‘grand finale’ malam tadi.
Selaku pemenang tempat keempat itu, Azeva dan pengurusnya, A Aida sekali gus menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM5,000, pakej penginapan serta trofi.
Tidak hanya itu, Azeva juga terpilih menjadi antara lima peserta TTMM 2 selain Cik B, Hussain, Kim Khairii dan Viviana yang perlu diundi peminat bagi mengisi satu kekosongan tempat bersaing di pentas Big Stage Rocketfuel musim ketujuh bermula siaran pada 28 Jun ini.
Terdahulu, Azeva tampil solo menyanyikan lagu Titanium nyanyian asal duet David Guetta dan Sia, manakala persembahan duo bersama Hafiz Suip menerusi lagu Muara Hati oleh Hafiz bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza.
© New Straits Times Press (M) Bhd




