KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di ibu negara.
Anwar dalam kenyataan berkata, pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni itu memberikan ruang yang baik untuk bertukar-tukar pandangan dan membincangkan perkara berkaitan kebajikan serta kesejahteraan rakyat, khususnya di Johor.
“Kami turut membincangkan perkembangan semasa dan perancangan berterusan Kerajaan Madani dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata, beliau dan Tunku Mahkota Ismail juga sepakat untuk terus mengekalkan hubungan yang baik, selain mengukuhkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Johor.
Sementara itu, The Royal Johor menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pertemuan berkenaan berlangsung di Istana Bukit Tunku, di sini.
Hantaran itu turut memuat naik tiga keping gambar perbincangan antara Tunku Mahkota Ismail dengan Anwar. – Bernama



