Kuala Lumpur: Sejumlah 38,953 pekerja yang diberhentikan kerja dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini mencerminkan banyak perniagaan sedang berdepan tekanan ekonomi susulan ketidaktentuan global, peningkatan kos operasi dan perubahan struktur pasaran pekerjaan.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, pemberhentian pekerja itu bukan berpunca daripada faktor khusus sesebuah syarikat semata-mata, sebaliknya dipengaruhi gabungan tekanan luaran dan domestik yang memberi kesan kepada pelbagai sektor ekonomi.
Katanya, permintaan luar yang lemah serta pertumbuhan perlahan dalam pasaran eksport utama menjejaskan keyakinan perniagaan dan mengurangkan tempahan terutama dalam industri yang bergantung kepada eksport.
“Pada masa sama, peningkatan kos menjalankan perniagaan termasuk gaji, utiliti, keperluan pematuhan, logistik dan kos operasi lain memberi tekanan besar kepada syarikat, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Perubahan struktur ekonomi, digitalisasi dan automasi turut mengubah keperluan tenaga kerja sehingga menyebabkan sesetengah pekerjaan terjejas, manakala ketegangan geopolitik serta gangguan rantaian bekalan global menambah ketidaktentuan dalam keputusan pelaburan syarikat,” katanya.
Menurutnya, pemberhentian pekerja sentiasa menjadi pilihan terakhir majikan kerana mengekalkan pekerja berpengalaman adalah lebih menjimatkan berbanding mengambil dan melatih pekerja baharu.
Mengulas sektor yang paling terkesan, beliau berkata industri pembuatan antara yang paling terdedah berikutan permintaan global yang lebih lemah, pertumbuhan eksport yang perlahan, peningkatan kos buruh serta persaingan daripada pengeluar serantau yang menawarkan kos lebih rendah.
Katanya, sektor elektrik dan elektronik (E&E) turut berdepan turun naik tempahan serta pelarasan rantaian bekalan, manakala sektor pembinaan menghadapi peningkatan kos bahan binaan, kelewatan projek dan kekangan pembiayaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




