Flat menua bersama penghuninya

Flat menua bersama penghuninya

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) kini bukan lagi sekadar penempatan keluarga muda berpendapatan rendah, sebaliknya semakin menjadi kediaman komuniti yang sedang meniti usia tua dengan ramai penghuni uzur masih menggunakan tangga flat tanpa lif setiap hari.

Perubahan itu berlaku seiring peningkatan penduduk Malaysia berusia 60 tahun ke atas daripada 1.5 juta orang pada tahun 2000 kepada 4.1 juta orang pada 2025, sekali gus meletakkan Malaysia dalam kategori negara menua sejak 2021.

Tinjauan wartawan Harian Metro di PA Sri Johor 4A di sini, mendapati lebih 60 peratus daripada 2,600 penduduk terdiri daripada warga emas manakala hampir 68 peratus penghuni di PA Sri Melaka berada dalam kategori sama selepas menetap lebih tiga dekad sejak usia muda.

Kajian Khazanah Research Institute (KRI) pula menunjukkan sekitar 10 peratus penghuni PPR terdiri daripada warga emas ketika kajian dijalankan pada 2016 dan 2017, manakala 42.6 peratus ketua isi rumah ketika itu sudah berusia 55 tahun ke atas dan kini dianggarkan melepasi usia 60 tahun.

Persoalannya, adakah perumahan rakyat negara benar-benar bersedia menghadapi gelombang penuaan penduduk bandar berpendapatan rendah?

Laluan tangga yang sempit, agak gelap dan rel pemegang yang semakin uzur menjadi cabaran harian buat warga emas di Perumahan Awam (PA) Sri Johor 4A dan PA Sri Melaka di sini.

Kedua-dua perumahan awam lima tingkat tanpa lif itu kini dihuni ramai warga emas yang menetap sejak usia muda sebelum berdepan kesukaran bergerak apabila meningkat usia.

Di PA Sri Johor 4A, lebih 60 peratus daripada kira-kira 2,600 penduduk terdiri daripada warga emas, manakala di PA Sri Melaka pula hampir 68 peratus penghuni kini dalam kategori sama.

Kebanyakan mereka sudah menetap lebih tiga dekad di kediaman berkeluasan kira-kira 60 meter persegi itu sejak berusia 20-an dan 30-an sebelum kini berdepan cabaran menaiki tangga setiap hari dalam keadaan kesihatan yang semakin merosot.

Tinjauan Harian Metro mendapati ada warga emas yang tinggal bersendirian, selain pasangan suami isteri uzur yang masih menghuni rumah di tingkat atas walaupun mengalami masalah lutut, tekanan darah tinggi dan kesukaran berjalan.

Keadaan tangga yang sempit serta pencahayaan yang kurang memuaskan turut menambah risiko terutama ketika hujan apabila permukaan tangga menjadi licin.

Walaupun berdepan cabaran naik turun tangga setiap hari, kebanyakan mereka mengakui masih selesa tinggal di situ kerana faktor kejiranan, keselamatan dan komuniti yang sudah terbina sejak puluhan tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Johor 4A, Abu Daud Ibrahim, 71, berkata, lebih 60 peratus penduduk di kawasan itu kini terdiri daripada warga emas yang kebanyakannya sudah tinggal di situ sejak muda.

Katanya, keadaan menjadi semakin mencabar apabila ramai penghuni warga emas tinggal di tingkat atas tanpa kemudahan lif.

“Cabaran utama warga emas di sini ialah untuk naik tangga setiap hari. Selain itu, keadaan rel pemegang tangga yang sudah lama dan semakin uzur juga menyukarkan pergerakan mereka.

“Antara situasi paling sukar ialah apabila warga emas jatuh sakit dan perlu dibawa turun menggunakan tangga yang sempit. Kalau warga emas tinggal di tingkat atas dan jatuh sakit, memang sukar untuk dibawa turun,” katanya

Tambahnya, kebiasaannya penduduk terpaksa meminta bantuan jiran atau menghubungi bomba untuk membantu menurunkan pesakit. Terdapat penghuni warga emas yang menggunakan kerusi roda dan memerlukan bantuan beberapa individu untuk dibawa turun ke bawah bagi mendapatkan rawatan.

“Sebenarnya ramai penghuni sudah terlalu biasa dengan kehidupan di PA walaupun semakin berusia. Dulu kami tinggal di sini ketika masih muda, tetapi sekarang semuanya sudah menjadi warga emas,” katanya.

Dia berkata, isu penempatan semula warga emas di tingkat bawah juga bukan sesuatu yang mudah kerana ramai penghuni sudah menetap terlalu lama di rumah masing-masing.

“Kalau hendak pindahkan warga emas ke tingkat bawah pun susah sebab semua orang sudah lama tinggal di rumah masing-masing,” katanya.

Pasangan warga emas, Soh Hee Keong, 74, dan isteri, Mak Mai @ Chua Long Keow, 85, sudah lebih 30 tahun menetap di PA Sri Johor 4A.

Mak Mai berkata, dia yang kini bertongkat mengakui sudah jarang keluar rumah kerana takut untuk turun dan naik tangga.

“Bila usia semakin tua, pergerakan pun semakin terbatas. Saya hanya keluar mendapatkan rawatan di hospital atau klinik dalam tempoh tertentu kerana kesukaran untuk bergerak.

“Walaupun berdepan kesukaran bergerak, kami gembira tinggal di kawasan ini kerana hubungan baik sesama jiran dan saling mengambil berat,” katanya.

Menurutnya, suasana kejiranan yang rapat membuatkan mereka berasa lebih selamat walaupun tinggal di flat lama tanpa lif.

Seorang lagi penduduk, Bakar Kasim, 70, berkata, dengan usia sekarang, pergerakannya tidak semudah dulu, tambahan dia kini berdepan masalah sakit lutut dan urat.

Pesara polis yang tinggal di tingkat tiga itu berkata, dia masih perlu turun setiap hari termasuk untuk ke masjid walaupun pergerakannya semakin terbatas.

“Keadaan tangga menjadi lebih berbahaya ketika hujan kerana permukaan licin boleh menyebabkan penghuni warga emas terjatuh. Saya pernah jatuh kerana tangga licin selepas hujan,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu membimbangkan kerana ramai penghuni di kawasan berkenaan kini terdiri daripada warga emas yang tinggal bersendirian atau hanya bersama pasangan masing-masing.

Katanya, kemudahan yang lebih mesra warga emas perlu dipertimbangkan terutama bagi perumahan lama tanpa lif seperti PA Sri Johor 4A.

“Sepatutnya ada kemudahan lebih sesuai untuk warga emas terutama bagi memudahkan mereka naik dan turun flat,” katanya.

Walaupun berdepan cabaran fizikal setiap hari, Bakar tetap meneruskan rutin hidupnya termasuk turun ke masjid lima kali sehari.

Katanya, dia berharap pembangunan semula perumahan awam pada masa depan dapat memberi kehidupan lebih selesa kepada warga emas terutama dari segi kemudahan lif, akses lebih selamat dan ruang kediaman yang lebih sesuai untuk penghuni berusia.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PA Sri Melaka, Mohamed Johan Said, 60, berkata, kira-kira 68 peratus penduduk di kawasan itu kini terdiri daripada warga emas dan ramai penghuni mula menetap di situ sejak mereka berusia 20-an dan 30-an sebelum kini memasuki usia emas.

Katanya, kebanyakan penghuni PA Sri Melaka sudah tinggal lebih 40 tahun dan kini ramai yang sudah berusia lebih 60 tahun.

“Walaupun keluasan rumah hanya sekitar 60 meter persegi dengan dua bilik dan satu bilik air, kebanyakan penghuni sudah terbiasa dengan keadaan itu.

“Mereka mungkin rasa sempit, tetapi kerana sudah tinggal terlalu lama di sini, mereka sudah menyesuaikan diri,” katanya.

Mohamed Johan berkata, kebanyakan warga emas akan turun sekali sehari untuk menyelesaikan semua urusan sebelum naik semula ke rumah masing-masing.

“Apabila mereka turun, mereka akan berada lama di bawah sebelum naik semula secara perlahan-lahan. Apabila sudah sampai di rumah, mereka biasanya tidak turun lagi kecuali ada kecemasan.

“Walaupun terdapat rel besi yang sudah berkarat, penghuni warga emas sangat berhati-hati ketika menggunakan tangga. Mereka sudah biasa dengan keadaan di sini dan tahu bagaimana untuk bergerak dengan selamat,” katanya.

Katanya, komuniti yang rapat di kawasan itu juga membantu memudahkan urusan penghuni warga emas terutama yang tinggal bersendirian.

“Kalau ada jiran yang tidak keluar rumah beberapa hari, penduduk lain akan datang bertanya khabar dan memastikan keadaan mereka baik,” katanya.

Penduduk PA Sri Melaka, M Sukumaran, 77, berkata, dia bersama isterinya, S Sarojini, 70, sudah tinggal di situ selama lebih 40 tahun.

Sukumaran berkata, keluasan rumah bukan masalah utama, sebaliknya cabaran sebenar ialah tangga perlu dinaiki setiap hari.

“Rumah ini selesa untuk kami, tetapi tinggal di tingkat empat memang sukar apabila usia semakin meningkat. Saya mengalami masalah lutut dan sukar menaiki tangga serta dijadual menjalani pembedahan lutut. Selain masalah lutut, saya juga mempunyai masalah tekanan darah tinggi dan diabetes,” katanya.

Sarojini pula berkata, mereka masih selesa tinggal di kawasan itu kerana suasana komuniti yang baik dan rasa selamat.

“Kami sudah tinggal di sini lebih 40 tahun dan berasa tenang kerana kawasan ini aman,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top