London: Pengarah bola sepak Manchester City, Hugo Viana percaya Enzo Fernandez, Elliot Anderson dan Ayyoub Bouaddi mampu mengulangi impak besar yang pernah diberikan Rodri dan Bernardo Silva di Etihad.
Viana menjadi individu penting dalam usaha City mendapatkan trio tengah berkenaan dengan nilai keseluruhan £327 juta (RM1.83 bilion) pada jendela perpindahan baru-baru ini.
Fernandez, Anderson dan Bouaddi tiba di Manchester sebagai sebahagian daripada rombakan besar skuad berikutan pemergian pengendali Pep Guardiola serta beberapa pemain utama selepas tamat musim lalu.
Rodri menyertai Barcelona, manakala pemain tengah Portugal, Silva berpindah ke Real Madrid, sekali gus meninggalkan kekosongan besar di bahagian tengah City.
Kedua-dua pemain itu memenangi keseluruhan 10 kejuaraan Liga Perdana Inggeris selain Liga Juara-Juara dan beberapa trofi lain sepanjang bersama City.
Namun, Viana yakin kehilangan dua tonggak berkenaan mampu diimbangi menerusi sumbangan Fernandez, Anderson dan Bouaddi.
“Kita tidak boleh lupa bahawa kami kehilangan pemain yang sangat penting di posisi tengah seperti Rodri dan Bernardo.
“Penting untuk membawa masuk kualiti, tetapi juga karakter dan mentaliti yang dimiliki Enzo. Dia baru berada di sini selama tiga minggu tetapi seolah-olah sudah bersama kami selama satu atau dua tahun.
“Dia mempunyai mentaliti yang kami cari untuk posisi itu kerana Rodri dan Bernardo sangat penting kepada kelab ini sepanjang dekad lalu.
“Kami semua percaya Enzo, Bouaddi dan Anderson boleh menjadi sama penting seperti Rodri dan Bernardo pada masa lalu,” katanya kepada media City.
Fernandez dibawa keluar dari Chelsea dengan nilai £125 juta (RM700 juta), yang menyamai rekod perpindahan Britain, manakala Anderson berharga £116 juta (RM649 juta) dari Nottingham Forest dan Bouaddi dinilai £86 juta (RM481 juta) ketika dibawa masuk dari Lille.
Viana turut menyifatkan Anderson sebagai pemain yang masih mempunyai ruang besar untuk berkembang selepas baru dua bulan bersama City.
“Dia baru bersama kami selama dua bulan. Dia akan berkembang lebih jauh.
“Kami tahu kami perlu membayar yuran perpindahan yang besar untuk mendapatkannya. Itu menunjukkan betapa kami percaya dia akan menjadi pemain Manchester City untuk lima, enam atau tujuh tahun.
“Dia pasti akan menjadi pemain yang sangat penting,” katanya.
Bouaddi yang mewakili Maghribi pula mencuri perhatian pada Piala Dunia baru-baru ini dan dilihat City sebagai pilihan jangka panjang untuk mengisi posisi yang pernah didominasi Rodri.
“Potensinya sangat tinggi. Kami semua percaya dia boleh menjadi pemain yang sangat penting.
“Itu adalah posisi yang kami fikir perlu diberi perhatian serius pada jendela perpindahan kali ini dan Bouaddi sentiasa menjadi sasaran kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
