Bosnia, Qatar rebut tempat ke-3

Bosnia, Qatar rebut tempat ke-3

Seattle: Bosnia Herzegovina dan Qatar memasuki perlawanan terakhir Kumpulan B Piala Dunia pada awal pagi Khamis dengan mengetahui bahawa mereka secara realistik perlu menang untuk mara, dengan kemungkinan pertemuan pusingan 32 terakhir menentang tuan rumah bersama Amerika Syarikat.

Kedua-dua pasukan memulakan kejohanan dengan agak baik apabila Bosnia mencatat keputusan seri yang meyakinkan menentang Kanada, manakala Qatar yang sebelum ini hanya pernah beraksi di pusingan akhir di laman sendiri pada 2022 berjaya mendapatkan gol penyamaan lewat ketika menentang Switzerland.

Namun, aksi kedua yang mengecewakan menyebabkan kedua-duanya kini mensasarkan tempat ketiga Kumpulan B, yang boleh membuka laluan ke perlawanan kalah mati menentang Amerika Syarikat di San Francisco pada 1 Julai tetapi hanya jika salah satu daripada mereka meraih tiga mata penuh di Seattle.

Bosnia berjaya bertahan lebih 70 minit sebelum akhirnya tewas 1-4 kepada Switzerland, manakala Qatar pula dibelasah Kanada 0-6.

Margin kekalahan besar itu memberi kesan buruk kepada perbezaan gol kedua-dua pasukan, yang boleh menjejaskan peluang mereka jika berkongsi mata dengan pasukan lain yang turut berada di tempat ketiga.

Dengan dua mata hampir pasti tidak mencukupi untuk layak, keputusan seri tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak dan situasi itu berpotensi menghasilkan perlawanan terbuka. Namun begitu, kedua-dua negara belum pernah melepasi peringkat kumpulan dan lebih selesa bermain secara bertahan serta melakukan serangan balas.

Bosnia yang menewaskan Itali menerusi penentuan penalti untuk layak dijangka menjadi pilihan, tetapi akan kehilangan pertahanan berusia 23 tahun, Tarik Muharemovic selepas menerima kad merah terus ketika menentang Switzerland.

Jurulatih Sergej Barbarez mengakui kehilangan Muharemovic akan dirasai dalam aksi wajib menang itu, namun berkata:

“Saya tidak suka merungut. Saya rasa kami mempunyai cukup ramai pemain berkualiti untuk menggantikannya.”

Qatar pula akan kehilangan kedua-dua Homam Ahmed dan Assim Madibo selepas kedua-duanya dibuang padang ketika menentang Kanada, dengan terjahan kasar Madibo menyebabkan Ismaël Koné mengalami patah kaki.

Jurulatih Qatar, Julen Lopetegui pula cuba menekankan sudut positif selepas kekalahan besar minggu lalu dengan berkata pasukannya masih mempunyai peluang untuk diperjuangkan.

“Masih ada negara-negara lain, negara besar yang hanya menonton Piala Dunia di televisyen tetapi kami berada di sini,” katanya selepas perlawanan menentang Kanada.

“Sekarang kami ada satu lagi perlawanan final di depan kami.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top