am@hmetro.com.my
Bangsar : “Artis lama atau baru yang ada masalah, jangan malu untuk berjumpa guru vokal,”
Demikian kata penyanyi juga jurulatih vokal, Datuk Syafinaz Selamat, 53, ketika diminta mengulas sama ada artis lama perlu mengambil kelas vokal untuk kekal relevan dalam bidang nyanyian.
Syafinaz yang sudah empat dekad terbabit dalam industri seni berkata, ramai artis datang berjumpa dengannya untuk memperbaiki diri sebagai penyanyi dan bukan kerana mereka tidak bagus.
“Sudah terbukti ramai artis senior yang berjumpa guru vokal untuk perbaiki nyanyian mereka sekarang. Sebagai jurulatih vokal, kita akan membantu seseorang penyanyi untuk menyanyi dengan lebih relaks.
“Contohnya, saya sangat suka bila dapat tahu penyanyi lama seperti Datuk Amy Search dan Dayang Nurfaizah turut berjumpa dengan guru vokal.
“Manakala, artis muda sekarang pula lebih terdedah dengan belajar vokal di luar negara,” katanya.
Mengulas lanjut, kata Syafinaz, artis lama tidak boleh berhenti menyanyi kerana ia adalah aktiviti yang perlu sentiasa dilakukan sebagai latihan.
“Suara adalah ‘muscle’ dan perlu latihan yang konsisten untuk kekalkan vokal sama macam kita pergi bersenam di gimnasium.
“Kalau kita tengok artis lama yang sudah lama tidak menyanyi, suaranya juga lain berbanding artis lama yang tidak pernah berhenti menyanyi,” kata penyanyi yang dikenali dengan lagu Ingin Bersamamu itu.
Bagaimanapun, kata Syafinaz, dia berpendapat penyanyi sekarang berdepan lebih banyak tekanan pada zaman medium media sosial.
“Contohnya, artis itu baru nak buat ‘sound check’ tapi ada orang sudah buat rakaman melalui telefon bimbit.
“Mereka yang merakam itu juga tidak tahu sama ada artis itu menyanyi ketika dirinya tidak sihat tapi rakaman nyanyiannya sudah pun ada di laman YouTube, Tiktok dan medium lain.
“Tidak ada empati pun pada artis itu sama ada dia sihat atau tidak ataupun baru buat ‘sound check’ tapi mereka tetap perlu sentiasa nampak sempurna di mata orang ramai,” katanya.
Terdahulu, pengalaman luas Syafinaz dalam bidang muzik dan seni persembahan terus diiktiraf menerusi pelantikan buat penggal kedua sebagai Profesor Adjung Tersohor di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkuat kuasa dari 1 Ogos lalu hingga 31 Julai 2028.
© New Straits Times Press (M) Bhd


