Penganjuran World Labour Day Celebration Rainwater Music Festival 2026 sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 berjaya menjana impak ekonomi keseluruhan sebanyak RM392.33 juta selain menarik kehadiran kira-kira 415,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Tarik pengunjung domestik dan antarabangsa
Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kejayaan itu membuktikan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta mampu merancakkan industri pelancongan serta ekonomi negara.
“Festival utama yang berlangsung di Kuala Lumpur berjaya menarik sekitar 150,000 pengunjung domestik, termasuk dari Sabah dan Sarawak.
“Malah acara ini berjaya menarik 100,000 pelancong antarabangsa dari China, Jepun, India, Korea Selatan, Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan beberapa negara lain,” katanya ketika sesi jawapan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menyatakan demikian bagi menjawab pertanyaan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai sumbangan festival berkenaan terhadap pengukuhan pelancongan berasaskan acara dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Program ini akan diperluas ke beberapa negeri
Menurut King Sing, selain Kuala Lumpur, program itu turut diperluaskan ke beberapa negeri termasuk Terengganu, Melaka, Labuan, Negeri Sembilan, Johor dan Langkawi yang secara keseluruhannya menarik kira-kira 165,000 pengunjung.
“Hasil penganjuran festival utama di Kuala Lumpur dianggarkan menjana pulangan ekonomi sebanyak RM320.43 juta, manakala program di negeri-negeri lain menyumbang RM71.9 juta kepada ekonomi tempatan.
“Secara keseluruhan, festival ini berjaya menjana RM392.33 juta kepada ekonomi negara dengan kehadiran kira-kira 415,000 pengunjung,” jelasnya.
Pulangan berganda daripada biaya
Tambah beliau, festival tersebut melibatkan kos penganjuran sebanyak RM15 juta dengan RM11 juta dibiayai kerajaan manakala RM4 juta lagi disumbangkan pihak swasta.
“Berdasarkan penilaian kementerian, setiap RM1 yang dibelanjakan kerajaan bagi menjayakan festival itu dianggarkan menghasilkan pulangan ekonomi sekitar RM36,” katanya.
Dalam masa sama, kerajaan memilih untuk mengekalkan kemasukan percuma kepada orang ramai walaupun acara itu berpotensi menjana hasil yang besar menerusi jualan tiket.
“Sekiranya tiket dikenakan bayaran antara RM200 hingga RM300 seorang, hasil yang boleh diperoleh dianggarkan mencecah antara RM50 juta hingga RM75 juta.
“Kerajaan memilih untuk memberikan kemasukan percuma sebagai penghargaan kepada golongan pekerja sempena sambutan Hari Pekerja selain memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati acara bertaraf antarabangsa ini,” katanya.

King Sing turut memaklumkan festival berkenaan memberi limpahan ekonomi kepada sektor perhotelan, peruncitan dan perusahaan kecil apabila 80 hotel menawarkan diskaun antara 30 hingga 50 peratus dengan kadar penghunian hampir 100 peratus.
Selain itu, pusat beli-belah utama di ibu negara turut menerima manfaat apabila Lot 10 merekodkan peningkatan pengunjung sebanyak 40 peratus dan lonjakan jualan hampir 45 peratus, manakala Sungei Wang Plaza mencatat pertumbuhan pengunjung sehingga 31.3 peratus.
“Sebanyak 80 hotel di seluruh negara menawarkan diskaun antara 30 hingga 50 peratus sempena festival berkenaan dan kebanyakannya merekodkan kadar penghunian hampir 100 peratus.
“Pusat beli-belah utama di ibu negara juga menerima manfaat apabila Lot 10 merekodkan peningkatan pengunjung sebanyak 40 peratus dan lonjakan jualan hampir 45 peratus, manakala Sungei Wang Plaza mencatat pertumbuhan pengunjung sehingga 31.3 peratus.
“Sebanyak 63 peniaga makanan dan 15 pengusaha kraftangan dari pelbagai negeri turut mengambil bahagian dengan jumlah jualan langsung mencecah RM388,690.
“Malah seorang penjaja makanan dari Kelantan dilaporkan berjaya memperoleh jualan sehingga RM10,000 sehari sepanjang festival berlangsung berbanding purata pendapatan sekitar RM200 sehari di negeri asalnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata festival tersebut turut menjadi platform promosi antarabangsa yang berkesan apabila disertai 41 wakil media antarabangsa.
Dedahnya, festival berkenaan juga telah menghasilkan hampir 10,000 liputan media serta kandungan digital dengan nilai publisiti dianggarkan RM77.5 juta.
Sumber: Malaysia Gazette (Nizam Zain)




