Boston: Jerman yang sudah layak ke pusingan ke pusingan kalah mati akan memburu kemenangan ketiga berturut-turut dalam Kumpulan E apabila menentang Ecuador, awal pagi Jumaat ini.
Sasaran mereka adalah melanjutkan rentetan kemenangan kepada 12 perlawanan berturut-turut serta mengekalkan momentum mereka di Piala Dunia 2026.
Jurulatih, Julian Nagelsmann perlu melakukan perubahan di benteng pertahanan selepas pertahanan tengah utama, Nico Schlotterbeck disahkan terlepas baki kejohanan akibat kecederaan ligamen buku lali ketika kemenangan dramatik 2-1 ke atas Ivory Coast, Ahad lalu.
Antonio Ruediger yang menggantikan Schlotterbeck dalam perlawanan itu, dijangka membuat penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama kejohanan, bergandingan dengan Jonathan Tah di jantung pertahanan Jerman.
Barisan pertahanan Nagelsmann dilihat sedikit goyah dalam beberapa situasi dan ketiadaan Schlotterbeck dijangka menguji lagi kekuatan mereka ketika berdepan Ecuador, yang berada dalam keadaan terdesak selepas hanya mampu seri tanpa jaringan menentang Curacao dan tewas dalam perlawanan pembukaan kepada Ivory Coast.
Pasukan Amerika Selatan itu yang melakukan 28 percubaan ke arah gol ketika menentang Curacao, tetapi gagal menemui jaringan kini berada di tangga ketiga dengan satu mata, mengatasi Curacao berdasarkan perbezaan gol.
Mereka tiba di kejohanan dengan rekod tanpa kalah dalam 19 perlawanan selepas menamatkan kempen kelayakan Amerika Selatan di tempat kedua di belakang juara dunia, Argentina.
Kini mereka perlu menewaskan Jerman untuk terus menghidupkan peluang mara ke pusingan seterusnya manakala Ivory Coast berada di tangga kedua kumpulan dengan tiga mata.
Jerman yang mengumpul enam mata sudah mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan tanpa mengira keputusan perlawanan ini dan akan beraksi dalam pusingan 32 terakhir di Boston.
Mereka masih menunggu untuk mengetahui lawan yang bakal dihadapi.
Namun, Jerman dijangka tidak akan memperlahankan rentak atau merehatkan pemain utama menjelang pusingan kalah mati kerana pasukan itu mahu meneruskan rentetan kemenangan mereka.
“Kami perlu terus mengekalkan momentum kerana setiap kemenangan amat baik untuk kami,” kata pemain tengah menyerang, Nadiem Amiri.
“Ia adalah perlawanan yang sangat penting buat kami dengan ramai penyokong dari Jerman akan hadir, jadi kami mahu menang 100 peratus dan kami akan turun dengan intensiti maksimum.”
Intensiti maksimum itulah yang mahu dikekalkan Nagelsmann selepas pasukannya berjaya mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun, selepas tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi 2018 dan 2022, sekali gus menghidupkan harapan penyokong mereka untuk menyaksikan Jerman menjulang gelaran dunia kelima.
© New Straits Times Press (M) Bhd




