Mbappe tak kejar rekod peribadi asal Perancis juara

Mbappe tak kejar rekod peribadi asal Perancis juara

New York: Kylian Mbappe semakin hampir untuk memecahkan satu daripada rekod jaringan paling berprestij dalam bola sepak, namun kapten Perancis itu menegaskan pencapaian individu tidak setanding impian membawa Les Bleus menjulang trofi Piala Dunia buat kali ketiga.

Dua gol yang dijaringkan Mbappe ketika Perancis menewaskan Iraq 3-0 pada semalam memastikan kemaraan ke pusingan kalah mati, selain menyaksikan jumlah jaringannya di pentas Piala Dunia meningkat kepada 16 gol, menyamai rekod bekas penyerang Jerman, Miroslav Klose dan hanya dua gol di belakang rekod sepanjang zaman milik Lionel Messi.

Bagaimanapun, penyerang berusia 27 tahun itu yang sudah meledak 60 gol dalam 100 penampilan antarabangsa berulang kali menepis perbincangan mengenai pencapaian peribadi dan menganggap Piala Dunia sebagai misi berpasukan.

“Saya sanggup mengharungi keseluruhan Piala Dunia tanpa menjaringkan gol jika Perancis muncul juara,” kata Mbappe sebelum kejohanan bermula.

Kualiti kepimpinan Mbappe jelas terserlah ketika menentang Iraq apabila bahasa tubuhnya, komitmen membantu pertahanan serta sokongan terhadap rakan sepasukan menggambarkan kesungguhan besar dimilikinya.

Sokongan terhadap Ousmane Dembele turut mencuri perhatian apabila Mbappe meraikan jaringan lewat rakannya itu dengan penuh semangat selepas pemain berkenaan dikritik susulan aksi hambar pada awal kejohanan.

Dembele sebelum itu mencipta peluang kepada Mbappe untuk gol kedua Perancis apabila memilih untuk membuat hantaran berbanding melakukan percubaan sendiri, dengan Mbappe kemudian menunjuk ke arah rakannya itu ketika meraikan jaringan.

Hubungan baik antara kedua-duanya turut terserlah apabila Dembele sebelum ini mempertahankan Mbappe daripada kritikan mengenai aspek kepimpinan serta musim sukar di peringkat kelab.

Suasana dalam bilik persalinan Perancis dilihat cukup kukuh di bawah kepimpinan Mbappe yang pengaruhnya kini tidak lagi hanya diukur menerusi jumlah jaringan.

Mengulas mengenai usaha mengejar rekod Messi, Mbappe menegaskan dia lebih mementingkan pencapaian pasukan.

“Tiada isu dengan Messi. Leo menjaringkan gol dan dia akan sentiasa menjaringkan gol.

“Saya tidak melihat apa yang dia lakukan kerana jika tidak, saya perlu melakukan lebih banyak lagi. Saya hanya melihat kepada pasukan saya. Apabila menjaringkan gol, anda semakin hampir dengan kelompok itu, tetapi bagi saya, lebih penting melihat perkembangan pasukan,” katanya.

Dengan kehadiran Dembele, Michael Olise, Desire Doue, Bradley Barcola dan Rayan Cherki, Perancis memiliki antara jentera serangan paling digeruni di kejohanan itu.

Sekiranya Mbappe meninggalkan Amerika Utara dengan trofi Piala Dunia dan rekod jaringan terbanyak, ia pasti menjadi pencapaian sempurna, namun buat masa ini, penyerang itu dilihat lebih rela membawa pulang satu trofi berbanding mengejar rekod peribadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top