Kecederaan lutut tak halang Oyarzabal pimpin serangan Sepanyol

Kecederaan lutut tak halang Oyarzabal pimpin serangan Sepanyol

Chattanooga, Amerika Syarikat: Penyerang Sepanyol, Mikel Oyarzabal menegaskan kecederaan ringan pada lututnya tidak akan menjejaskan kempen Piala Dunia 2026 selepas meledak dua gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Arab Saudi.

Oyarzabal turut mencipta bantuan gol untuk jaringan pembukaan bintang muda, Lamine Yamal ketika Sepanyol bangkit daripada keputusan mengecewakan seri tanpa jaringan menentang Cape Verde dalam aksi pertama mereka di Amerika Utara.

Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente mendedahkan bahawa penyerang Real Sociedad itu bergelut dengan masalah lutut namun tetap cergas untuk diturunkan.

“Saya memang mengalami sedikit masalah tetapi saya rasa semua pemain di sini berdepan situasi yang sama. Setiap orang ada sesuatu yang perlu dijaga.

“Saya berada dalam keadaan baik. Sebelum ini memang ada sedikit keraguan kerana saya tidak pasti keadaan sebenar atau sama ada dapat bermain. Mujur semuanya berjalan lancar dan saya gembira,” kata Oyarzabal pada sidang media, hari ini.

Sejak menjaringkan gol kemenangan ketika Sepanyol menewaskan England pada final Kejuaraan Eropah (EURO) 2024, Oyarzabal muncul pilihan utama di jentera serangan La Roja.

Pemain berusia 29 tahun itu kini mengumpul 14 gol dalam 13 penampilan terakhir bersama skuad kebangsaan.

Namun, kerana tidak pernah meninggalkan Real Sociedad sepanjang kariernya, terdapat tanggapan bahawa beliau kurang mendapat pengiktirafan di luar Sepanyol berbanding penilaian tinggi yang diberikan de la Fuente dan rakan sepasukannya.

“Saya sebenarnya sudah penat menjawab soalan ini dan tidak terlalu memikirkannya.

“Apa yang penting bagi saya ialah pandangan rakan sepasukan, jurulatih, staf dan individu yang benar-benar penting bagi saya.

“Kita tahu bagaimana bola sepak berfungsi sekarang. Orang ramai akan bercakap tetapi saya tidak membiarkan perkara itu mengganggu saya,” katanya.

Sepanyol akan menentang Uruguay di Guadalajara pada Jumaat ini dengan keputusan seri sudah memadai untuk memastikan mereka muncul juara Kumpulan H selagi Cape Verde tidak menewaskan Arab Saudi dengan kelebihan empat gol atau lebih. -AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top