Jepun naikkan yuran visa 5 kali ganda, kenaikan pertama sejak 1978

Jepun naikkan yuran visa 5 kali ganda, kenaikan pertama sejak 1978

TOKYO – Jepun melaksanakan kenaikan yuran visa sebanyak lima kali ganda bagi semua warga asing selepas hampir 50 tahun bermula 1 Julai ini, lapor BBC News.

Yuran visa kemasukan sekali akan dinaikkan daripada 3,000 yen (RM77) kepada 15,000 yen (RM385), manakala visa kemasukan berbilang pula meningkat daripada 6,000 yen (RM154) kepada 30,000 yen (RM770).

Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi berkata, semakan yuran visa itu adalah yang pertama sejak 1978 selepas mengambil kira kadar inflasi dan turun naik nilai mata wang.

“Kami tidak menjangkakan langkah ini akan memberi kesan terhadap kemasukan pelancong asing,” katanya, Jumaat lalu.

Nilai yen Jepun terus menunjukkan trend penyusutan sejak 2021 dan kini menghampiri paras terendah dalam tempoh 40 tahun.

Keadaan itu ditambah dengan peningkatan semula aktiviti pelancongan selepas pandemik Covid-19, telah menyumbang kepada lonjakan jumlah pelancong ke negara berkenaan.

Jepun merekodkan ketibaan seramai 42.7 juta pelancong antarabangsa tahun lalu, angka tertinggi dalam sejarah negara itu.

Pada Mei lalu, Dewan Tinggi Parlimen Jepun turut meluluskan rang undang-undang bagi menaikkan beberapa caj lain yang melibatkan warga asing.

Menerusi semakan tersebut, had maksimum yuran permohonan taraf pemastautin tetap akan dinaikkan kepada 300,000 yen, iaitu 30 kali ganda berbanding had semasa sebanyak 10,000 yen.

Kos untuk menukar status pemastautin atau melanjutkan tempoh tinggal juga akan meningkat sehingga 100,000 yen berbanding 10,000 yen ketika ini.

Pihak berkuasa yang menyokong kenaikan yuran berkenaan berpendapat Jepun perlu menyelaraskan kadar caj berkaitan visa dan pemastautinan agar lebih setanding dengan negara-negara ekonomi utama dunia dalam Kumpulan Tujuh (G7).

 

 

 

Scroll to Top