Kanak-kanak 12 tahun nyaris dilacurkan jiran sendiri

Kanak-kanak 12 tahun nyaris dilacurkan jiran sendiri

JAKARTA – Seorang kanak-kanak perempuan yatim piatu nyaris dilacurkan pasangan suami isteri yang tergamak menculiknya.

Perbuatan mereka dibongkarkan oleh Unit Perlindungan Perempuan dan Anak (PPA) Satreskrim Polres OKU Selatan setelah mangsa dilarikan pasangan itu yang merupakan jirannya.

Kejadian itu berlaku di Desa Gunung Terang, Kecamatan Buay Sandang Aji, Kabupaten Ogan Komering Ulu (OKU) Selatan, Sumatera Selatan di Indonesia pada minggu lalu.

Mangsa yang sedang bermain seorang diri didatangi pelaku wanita dikenali sebagai MF, 25.

Dia memperdaya mangsa yang setuju untuk mengikutnya bertemu dengan suspek lelaki dikenali sebagai A, 41.

Menurut pihak berkuasa, pasangan itu turut meminta mangsa masuk ke dalam karung sebelum dibawa ke sebuah penginapan di kawasan Pasar Muaradua.

Kanit PPA Satreskrim Polres OKU Selatan, IPDA Devi Sulastri berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua pelaku merancang untuk melacurkan kanak-kanak itu.

Dia bernasib baik ditemui segera oleh pihak berkuasa selepas ahli keluarganya membuat laporan tentang kehilangannya.

Pihak berkuasa berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu dan merampas sejumlah barang bukti untuk membantu siasatan.

Mangsa pula dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. – Agensi

Scroll to Top