Toronto: Ribuan penyokong Croatia mencipta suasana meriah di Toronto pada aksi penting Piala Dunia 2026 menentang Panama apabila berarak sambil membawa bendera gergasi sepanjang 100 meter menuju ke stadium.
Perlawanan Kumpulan L itu menjadi misi hidup mati buat kedua-dua pasukan yang masih memburu mata pertama selepas tewas dalam aksi pembukaan masing-masing.
Kekalahan sekali lagi bakal menjejaskan peluang Croatia dan Panama untuk meneruskan saingan ke pusingan kalah mati.
Menjelang sepak mula, lautan penyokong Croatia membanjiri kawasan sekitar stadium dengan nyanyian, paluan gendang serta suar berwarna-warni yang mewarnai suasana.
Malah, ada penyokong yang sanggup memanjat pokok dan tiang lampu bagi menyemarakkan lagi sokongan kepada pasukan mereka.
Pengendali Croatia, Zlatko Dalic sebelum ini berharap sokongan penyokong dapat bertindak sebagai pemain ke-12 pasukan dan harapan itu jelas diterjemahkan menerusi sambutan luar biasa yang diberikan.
Dua penyokong, Ines dan Stella sanggup terbang dari Croatia semata-mata untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi di pentas terbesar dunia itu.
Menurut mereka, kapten Croatia, Luka Modric yang membuat penampilan antarabangsa ke-200 malam itu mempunyai tempat istimewa dalam hati setiap rakyat negara berkenaan.
“Sudah tentu kami akan menang hari ini,” kata mereka serentak ketika sorakan nama Modric bergema di belakang.
Seorang lagi penyokong, Robbie yang mengenakan warna merah, putih dan biru Croatia turut membawa gendang untuk memastikan pesta sokongan berterusan sepanjang malam.
“Saya hanya menikmati detik ini dan menyerap sepenuhnya suasana yang luar biasa ini,” katanya.
Renata Tafra yang datang dari Split bersama suaminya pula mendedahkan mereka sudah membelanjakan kira-kira AS$3,500 (RM14,900) untuk tiket sepanjang kejohanan.
Bagaimanapun, katanya, pengalaman menyokong Croatia di Piala Dunia tidak ternilai harganya.
“Anda perlu menjadi rakyat Croatia untuk memahami apa makna semua ini kepada kami,” katanya.
Turut mencuri perhatian ialah kehadiran Perdana Menteri Croatia, Andrej Plenkovic yang dijadual berada di stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan negara.
Beliau percaya budaya bola sepak yang kuat menjadi antara faktor utama kejayaan Croatia di pentas antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Pesanan saya kepada pasukan, lakukan apa yang anda tahu lakukan dengan terbaik.
“Bermainlah sepenuh hati demi negara, demi bendera dan warna kebanggaan kita,” katanya.
Dengan suasana penuh semangat yang dibawa ribuan penyokong, Croatia berharap sokongan luar biasa itu mampu menjadi pembakar semangat untuk menghidupkan semula kempen mereka di Piala Dunia 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd




