Rekod, hubungan istana jadi penentu – Penganalisis politik

Rekod, hubungan istana jadi penentu – Penganalisis politik

PUTRAJAYA – Calon Menteri Besar Johor bukan sekadar ditentukan berdasarkan nama besar dan pengalaman dalam pentadbiran kerajaan, sebaliknya rekod pencapaian serta hubungan dengan institusi istana turut menjadi antara pertimbangan penting.

Menurut penganalisis politik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain, perkara itu turut terpakai terhadap bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Menurutnya, pengalaman dimiliki Maszlee menjadikan pencalonan beliau bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan tokoh berkenaan pernah memegang portfolio penting dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan.

“Beliau merupakan ahli politik yang berpengalaman dan pernah menjadi Menteri Pendidikan sebelum ini. Jadi bukan suatu perkara yang baharu untuk beliau dicalonkan bertanding dan dianggap calon utama MB Johor jika PH menang,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Mohd Izani menjelaskan, pelantikan Menteri Besar melibatkan beberapa pertimbangan lain yang tidak boleh diketepikan.

Katanya, rekod pencapaian dan hubungan dengan institusi istana merupakan antara faktor signifikan yang perlu diberi perhatian sebelum seseorang individu dilantik menerajui pentadbiran negeri.

“Banyak pertimbangan lain perlu diambil kira untuk dilantik sebagai MB Johor, ” ujarnya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa semua andaian mengenai jawatan berkenaan masih tertakluk kepada keputusan PRN Johor yang akan berlangsung nanti.

Menurut Mohd Izani, Maszlee perlu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dan PH perlu memperoleh kemenangan bagi membentuk kerajaan negeri terlebih dahulu.

“Apa pun beliau perlu menang dan PH perlu menang dalam PRN kali ini untuk beliau boleh dilantik dengan perkenan Sultan,” ujarnya.

Sebelum ini, PH mempertaruhkan 56 calon dari pelbagai latar belakang termasuk bekas menteri, Exco dan ahli Parlimen.

Selain Maszlee yang diletakkan sebagai calon DUN Puteri Wangsa, antara nama besar turut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon adalah Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat (DUN Larkin), Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain (DUN Mahkota).

Muka baharu iaitu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad (DUN Kempas) dan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor dan Mohd Fakharuddin Moslim (DUN Pasir Raja).

Scroll to Top