Hannah Yeoh dan percubaan mengubah cara Kuala Lumpur ditadbir

Hannah Yeoh dan percubaan mengubah cara Kuala Lumpur ditadbir

Apabila bercakap tentang pembangunan Kuala Lumpur, perbincangan selalunya tertumpu kepada projek baharu, bangunan ikonik atau pelaburan yang masuk ke bandar raya ini. Kejayaan sering diukur berdasarkan apa yang dapat dilihat dengan mata kasar.

Namun sejak beberapa bulan kebelakangan ini, satu pendekatan yang berbeza mula kelihatan dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan di bawah Hannah Yeoh. Fokusnya bukan sekadar kepada apa yang dibina tetapi bagaimana keputusan dibuat dan sejauh mana institusi yang menguruskan Kuala Lumpur bersedia dipantau oleh rakyat.

Apa yang sedang cuba diubah bukan sekadar landskap bandar raya tetapi cara bandar raya ini ditadbir.

Reformasi pentadbiran ini turut disokong oleh keserasian antara Hannah Yeoh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud. Kedua-duanya membawa tanggungjawab yang berbeza tetapi saling melengkapi. Hannah Yeoh menetapkan hala tuju dasar dan reformasi manakala Datuk Bandar bertanggungjawab memastikan dasar tersebut diterjemahkan kepada polisi, pelaksanaan dan penyampaian perkhidmatan yang berkesan.

Gandingan ini menjadi antara faktor yang menjadikan Kuala Lumpur semakin rancak, lebih tersusun dan berfungsi dengan lebih baik. Walaupun peranan mereka berbeza, kedua-duanya berkongsi matlamat yang sama iaitu mengembalikan fokus pentadbiran bandar kepada perkara asas yang paling penting kepada warga kota. Jalan yang diselenggara dengan baik, taman awam yang terurus, sistem yang telus, persekitaran yang bersih dan perkhidmatan yang responsif mungkin bukan perkara yang sering menjadi tajuk utama tetapi itulah asas kepada sebuah bandar raya yang berjaya. Pendekatan “back to basic” inilah yang semakin jelas membentuk hala tuju pentadbiran Kuala Lumpur hari ini.

Dalam tempoh yang singkat, beberapa langkah yang sebelum ini jarang menjadi sebahagian daripada perbincangan awam mula diperkenalkan. Ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur diberikan peranan yang lebih besar dalam memantau projek dan perbelanjaan DBKL. OSC Portal dibuka kepada orang ramai bagi meningkatkan ketelusan proses pembangunan bandar. Data kawasan hijau yang telah diwartakan turut diterbitkan untuk akses awam.

Secara berasingan, langkah-langkah ini mungkin kelihatan kecil. Namun apabila dilihat secara keseluruhan, ia membawa mesej yang jelas di mana proses membuat keputusan yang sebelum ini lebih tertutup sedang dibuka kepada penelitian rakyat.

Pendekatan yang sama dapat dilihat dalam beberapa keputusan dasar lain. Padang Merbok dikembalikan kepada kegunaan awam. Kos penyertaan bazar Ramadan dikurangkan bagi membantu peniaga kecil. Tindakan turut diambil bagi menangani unsur kartel yang selama ini menjejaskan peluang perniagaan yang lebih adil.

Dalam masa yang sama, kerjasama yang diperkukuh dengan SPRM memberi isyarat bahawa isu integriti dan akauntabiliti tidak lagi dianggap sebagai perkara sampingan dalam pengurusan bandar raya. Bagi Hannah Yeoh, pembangunan bandar tidak boleh dipisahkan daripada soal kepercayaan rakyat terhadap institusi yang melaksanakannya.

Sudah tentu, masih terlalu awal untuk membuat penilaian muktamad. Reformasi institusi tidak menghasilkan kesan serta-merta atau mercu tanda baharu yang boleh dilihat dalam masa beberapa bulan. Kejayaannya hanya dapat diukur apabila proses membuat keputusan menjadi lebih baik, institusi menjadi lebih bertanggungjawab dan rakyat mula merasakan manfaatnya dalam kehidupan seharian.

Namun hakikat bahawa isu seperti ketelusan, semak dan imbang, integriti serta akses kepada maklumat awam kini menjadi sebahagian daripada perbincangan mengenai Kuala Lumpur sudah menunjukkan berlakunya satu perubahan penting. Lima tahun lalu, isu-isu seperti ini jarang menjadi tumpuan utama dalam perbahasan mengenai masa depan bandar raya.

Kuala Lumpur tidak kekurangan projek pembangunan. Cabaran sebenar ialah memastikan pembangunan dilaksanakan secara telus, teratur dan memberi manfaat kepada rakyat. Itulah sebabnya usaha memperkukuh tadbir urus bandar raya mungkin tidak sentiasa menjadi tajuk utama tetapi kesannya boleh dirasai jauh lebih lama.

Dua puluh tahun dari sekarang, warga kota mungkin tidak mengingati setiap projek yang diumumkan atau setiap sidang media yang diadakan. Namun mereka akan mengingati sama ada Kuala Lumpur menjadi bandar raya yang lebih bersih, lebih teratur, lebih mudah didiami dan lebih dipercayai institusinya. Jika itu berjaya dicapai, itulah legasi yang paling bernilai dan paling sukar dipadamkan.

Scroll to Top