‘Pepat di luar, rencong di dalam’ – Radzi Jidin tuju sindiran kepada siapa?

‘Pepat di luar, rencong di dalam’ – Radzi Jidin tuju sindiran kepada siapa?

SHAH ALAM – Hantaran terbaharu Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin di media sosialnya yang berunsurkan peribahasa sindiran mencetuskan tanda tanya.

Walaupun tidak menyebut mana-mana pihak secara khusus, kenyataan tersebut dilihat hadir ketika Bersatu secara terbuka membantah penerimaan Parti Cinta Malaysia (PCM) sebagai anggota baharu Perikatan Nasional (PN).

“Orang tua berpesan, sikap pepat di luar, rencong di dalam, lambat laun akan terdedah jua,” tulisnya ringkas di Threads.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Selasa dilapor berkata, partinya membantah tindakan PN menerima PCM sebagai anggota baharu gabungan itu.

Menurutnya, bantahan dibuat atas dasar PN sedang menghadapi masalah sesama parti komponen dan penerimaan terhadap parti baharu hanya akan menyulitkan masalah dalaman sedia ada.

Sebelum itu, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan PCM yang diambil alih Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum dinamakan semula sebagai Parti Wawasan Negara, diterima menyertai gabungan berkenaan.

Beliau berkata, berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) di Pejabat Agung Pas pada Isnin.

Turut diterima menyertai gabungan berkenaan ialah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Scroll to Top