PERKESO lanjutkan Op Pemutihan sehingga 30 Jun depan

PERKESO lanjutkan Op Pemutihan sehingga 30 Jun depan

SHAH ALAM – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengumumkan pelanjutan tempoh pelaksanaan Ops Kesan sehingga 30 Jun depan bagi memberi ruang tambahan kepada majikan yang belum mendaftar dan mencarum pekerja mereka untuk tampil secara sukarela.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pelanjutan tersebut selaras dengan usaha berterusan agensi berkenaan dalam memperluas liputan perlindungan sosial kepada semua pekerja di Malaysia, selari dengan prinsip ‘no one left behind’.

“Bermula 1 Jun 2026, PERKESO telah memperluaskan skim perlindungan sedia ada iaitu Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) dengan menyediakan perlindungan 24 jam kepada pekerja bagi kemalangan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed

Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed

“PERKESO akan terus mengutamakan pendekatan advokasi, pendidikan dan khidmat nasihat kepada majikan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil”, jelas kenyataan pada Rabu.

Kata beliau, inisiatif pelanjutan Bulan Pemutihan ini juga mengambil kira tempoh perayaan Aidiladha dan cuti umum Hari Wesak serta Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, sekali gus memberi peluang kedua kepada majikan untuk tampil mendaftar secara sukarela.

“Pelanjutan ini adalah peluang terbaik kepada majikan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dalam memastikan kebajikan pekerja sentiasa terjamin melalui perlindungan sosial yang komprehensif.

“Keberkesanan pematuhan majikan jelas dapat dilihat melalui sambutan positif majikan dalam memastikan pendaftaran perusahaan serta pekerja.

Jelasnya, sejak pelancaran Bulan Pemutihan tahun 2026, sebanyak 5,289 majikan dan 30,632 pekerja tempatan serta 14,428 pekerja asing telah berdaftar.

“Dalam tempoh yang sama, sebanyak 609 notis Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) di bawah Akta4 dan Akta 800 melibatkan majikan baharu berjumlah RM33,630.00 telah dikecualikan dalam tempoh ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohammed Azman turut memaklumkan, lanjutan tempoh tersebut mengambil kira pelaksanaan Portal ASSIST 2.0 yang bakal diperkenalkan dengan pelbagai penambahbaikan bagi meningkatkan kemudahan dan kecekapan urusan majikan.

“PERKESO akan terus membimbing majikan dalam memahami keperluan skim ini. Selepas tamat tempoh Ops Pemutihan pada 30 Jun 2026, Ops Kesan akan dipergiatkan bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta yang berkuat kuasa.

“Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun, Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) serta pendakwaan di mahkamah selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

 

Scroll to Top