PETALING JAYA: Polis menahan 1,156 individu melalui 868 serbuan di sekitar Kuala Lumpur berkaitan pelbagai aktiviti perjudian termasuk pertaruhan haram sempena Piala Dunia FIFA 2026 sejak 1 Januari lalu hingga semalam.
Menerusi Op Soga IV yang dilaksanakan bagi membanteras perjudian bola sepak (Catit Taruh), polis merampas wang tunai berjumlah RM45,033, nilai pertaruhan RM96,878.58 serta HKD32,799.75 (RM17,319).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, dalam operasi tersebut, 22 serbuan dijalankan di sekitar ibu kota dengan 24 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pertaruhan haram dan perjudian dalam talian.
Katanya, turut dirampas ialah wang tunai RM25,020, dua komputer riba, satu monitor, dua tetikus, satu router internet, 27 telefon bimbit, sebuah tablet dan 27 kad SIM.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(c), 4(1)(e), 6(1) dan 6(3) Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.
“Bagi kes perjudian dalam talian pula, sebanyak 322 serbuan dijalankan dengan 341 tangkapan dibuat. Rampasan termasuk RM1,015 wang tunai, 29 tablet, 336 telefon bimbit, 10 modem, tiga router serta dua kertas pertaruhan.
“Selain itu, 486 serbuan terhadap kegiatan judi nombor ekor haram membawa kepada 487 tangkapan dengan rampasan RM4,886 serta 451 telefon bimbit dan 45 kertas pertaruhan,” katanya di sini hari ini.
Dalam operasi perjudian dalam bangunan pula, katanya, sebanyak 16 serbuan dilakukan dengan 146 individu ditahan, melibatkan rampasan wang tunai RM10,842, pelbagai peralatan judi termasuk 1,493 cip, 1,116 batu mahjong, 119 kad, serta peralatan lain seperti meja, kerusi dan dadu.
Sementara itu, jelasnya, satu serbuan perjudian luar bangunan turut membawa kepada enam tangkapan dengan rampasan RM770 dan satu set daun terup.
“Polis turut menyerbu 21 premis yang dipercayai beroperasi sebagai pusat panggilan kegiatan haram, yang membawa kepada 152 tangkapan serta rampasan 58 komputer, 77 komputer riba, 218 telefon bimbit, 18 modem dan 12 router.
“Operasi berterusan akan dijalankan bagi membanteras aktiviti perjudian dan memastikan keselamatan awam terpelihara,”ujarnya.
Fadil menegaskan,orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti perjudian serta berwaspada terhadap penipuan yang menggunakan modus operandi pusat panggilan, termasuk tawaran pekerjaan dan pelaburan tidak wajar.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,”katanya. – UTUSAN




