Program ‘Drop 2 Saves’ berjaya kumpul 50 beg darah

Program ‘Drop 2 Saves’ berjaya kumpul 50 beg darah
Program ‘Drop 2 Saves’ berjaya kumpul 50 beg darah

SHAH ALAM – Program “Drop 2 Saves: Setitik Darah, Sejuta Harapan” yang dianjurkan pelajar Diploma Pengurusan Teknologi Pejabat, Institute of Continuing Education and Professional Studies (iCEPS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), telah berjaya menghimpunkan warga kampus dalam satu inisiatif kemanusiaan yang memberi manfaat kepada masyarakat melalui aktiviti pendermaan darah.

Bertempat di Student’s Lounge, Fakulti Sains Kesihatan 6, UiTM Puncak Alam, program tersebut berjaya merekodkan sebanyak 126 pendaftaran penderma dengan 50 beg darah berjaya dikumpulkan untuk disalurkan kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Pencapaian ini mencerminkan tahap kesedaran dan keprihatinan yang tinggi dalam kalangan warga universiti terhadap kepentingan pendermaan darah sebagai usaha membantu menyelamatkan nyawa.

Program ini dilaksanakan oleh 16 orang pelajar Semester 7 dengan objektif meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendermaan darah, menggalakkan penglibatan dalam aktiviti kesukarelawanan serta membantu menambah bekalan darah yang diperlukan oleh institusi kesihatan bagi tujuan rawatan dan kecemasan.

Pengarah Program, Muhammad Harris Radzi Ab. Razak, berkata, kejayaan program ini membuktikan bahawa golongan mahasiswa mampu memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

“Melihat sambutan yang diberikan oleh warga UiTM amat membanggakan. Setiap pendermaan darah yang dilakukan bukan sahaja membantu pesakit yang memerlukan, malah menunjukkan semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam kalangan mahasiswa dan komuniti kampus,” katanya.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Bank Darah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang yang mengendalikan keseluruhan proses pendermaan darah secara profesional dan selamat. Kehadiran pasukan perubatan HTAR telah memastikan setiap prosedur pendermaan dilaksanakan mengikut standard keselamatan yang ditetapkan.

Selain aktiviti pendermaan darah, peserta turut berpeluang mendapatkan maklumat kesihatan melalui reruai pameran yang disediakan oleh National Kidney Foundation (NKF) dan Malaysian Stem Cell Registry (MSCR).

Penyertaan kedua-dua agensi ini telah memberi pendedahan kepada peserta mengenai penjagaan kesihatan, pendermaan sel stem serta kepentingan pengesanan awal penyakit bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Sementara itu, Penasihat program, Nur Farhana Mohd Sah, berkata, penganjuran program seperti ini bukan sahaja memberi impak kepada komuniti malah menjadi platform pembelajaran yang berharga kepada pelajar.

“Program ini membolehkan pelajar mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari di dalam bilik kuliah seperti pengurusan acara, komunikasi, kepimpinan, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan dalam situasi sebenar. Pengalaman ini sangat penting dalam membentuk graduan yang kompeten dan berdaya saing,”katanya.

Program ini turut menerima sokongan daripada BeKind Malaysia sebagai rakan penaja yang memainkan peranan penting dalam membantu melancarkan pelaksanaan aktiviti sepanjang program berlangsung.

Penglibatan BeKind Malaysia mencerminkan komitmen sektor korporat dalam menyokong inisiatif berteraskan kesihatan, kesukarelawanan dan kebajikan masyarakat, sekali gus memperkukuhkan usaha kolaboratif antara institusi pendidikan dan pihak industri dalam menjayakan program yang memberi manfaat kepada komuniti.

Secara keseluruhannya, Program “Drop 2 Saves: Setitik Darah, Sejuta Harapan” berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan menggabungkan elemen pendidikan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.

Kejayaan program ini membuktikan bahawa kerjasama erat antara institusi pendidikan, agensi kesihatan dan rakan strategik mampu menghasilkan impak positif yang berterusan kepada masyarakat serta menyemai budaya prihatin dalam kalangan generasi muda.

 

Scroll to Top