JOHOR BAHRU- Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan kesetiaan kepada parti tidak pernah berubah meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Menurut Mohd Puad, beliau tidak perlu diajar mengenai soal kesetiaan berikutan pernah melalui dua fasa sukar tanpa sebarang jawatan.
“Mungkin dia lupa bahawa dua kali saya tidak berjawatan.
“Pertama apabila kalah di Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan kedua ketika Barisan Nasional (BN) hilang kuasa pada PRU14.
“Ketika itu saya tetap mempertahankan parti sehingga disaman RM10 juta oleh Muhyiddn (Tan Sri Muhyiddin Yassin). Masa itu Muhyiddin Perdana Menteri ke lapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Mohd Puad berkata, sepanjang tempoh tersebut beliau konsisten mempertahankan UMNO melalui penulisan dan platform audio siar ‘Jangan Berlapik’ tanpa bergantung kepada sebarang pembiayaan parti.
“Maka tidak payahlah mengajar saya bab setia parti sebaliknya sebagai orang muda, Noor Azleen kena faham maksud kesetiaan.
“Saya setia kepada perjuangan parti bukan individu tetapi apabila pemimpin jadi boneka, maka saya berhak bersuara untuk selamatkan parti.
“Kalau diam melulu itu menjahanamkan parti. ‘Kamu orang muda yang bagi contoh salah kepada orang muda tentang makna kesetiaan’,” katanya lagi.
Terdahulu, Noor Azleen mengingatkan semua pemimpin dan anggota parti supaya terus menunjukkan kesetiaan serta kepatuhan kepada parti tanpa mengira kedudukan atau jawatan yang disandang.
Menurutnya, kesetiaan kepada parti tidak seharusnya berubah mengikut keadaan semasa, terutama apabila seseorang tidak lagi memegang jawatan dalam parti atau kerajaan.
Sebelum itu, Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor memberi bayangan akan membuat satu pengumuman penting pada 27 Jun ini susulan perkembangan terkini dalam UMNO Johor yang disifatkannya membimbangkan.
Katanya, terdapat perkara yang `tidak kena’ kepada UMNO Johor selepas meneliti senarai calon BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.



