Oh! Negara
Onn Hafiz nafi dakwaan Istana arah pembubaran DUN Johor dan berkata UMNO Johor akan membuat laporan polis.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa beliau pernah memaklumkan kepadanya pihak Istana telah ‘mengarahkan’ pembubaran Dewan Negeri Johor.
Menurut Onn Hafiz, dia memaklumkan bahawa pembubaran tersebut dibuat selepas mendapat titah perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Onn Hafiz jelaskan proses pembubaran DUN Johor
Tambah beliau, Menteri Besar tidak boleh membubarkan Dewan Negeri Johor sesuka hati kerana proses itu perlu melalui undang-undang dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan.

Beliau berkata, perkara tersebut telah dipersembahkan terlebih dahulu sebelum perkenan diterima dan pengumuman dibuat secara terbuka kepada rakyat.
Menurutnya, mendapatkan titah perkenan merupakan sebahagian daripada proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik.
Onn Hafiz kemudian menyifatkan tindakan memutarbelitkan proses perlembagaan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana boleh menimbulkan persepsi bahawa Institusi Diraja mencampuri urusan politik UMNO Johor.
UMNO Johor bakal buat laporan polis

Dalam kenyataan sama, Onn Hafiz berkata Puad berhak meninggalkan UMNO dan mempunyai pandangan berbeza dengan kepimpinan parti.
Namun, beliau menegaskan dakwaan sedemikian adalah serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya berkaitan Institusi Diraja.
Beliau turut memberi amaran bahawa kenyataan tersebut boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.
Sehubungan itu, UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.
Onn Hafiz turut menyeru semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta tidak memperalatkan institusi berkenaan dalam pertelingkahan politik.
Pssttt! Isu membabitkan Institusi Diraja bukan perkara yang boleh dipandang ringan atau dijadikan bahan pertikaian politik. Setiap dakwaan perlu disertakan bukti jelas supaya tidak menimbulkan kekeliruan dan mengganggu keharmonian masyarakat.
Kredit: Facebook Onn Hafiz Ghazi
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.




