MOSCOW – Venezuela mengisytiharkan darurat berikutan gempa bumi kuat, kata pemangku Presiden Venezuela Delcy Rodriguez, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Pada Rabu, Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) memaklumkan dua gempa bumi kuat 7.2 dan 7.5 magnitud melanda Venezuela.
Gempa itu berlaku 16 kilometer (km) dari bandar Moron dan 24 km dari San Felipe.
“Kami mengisytiharkan darurat, seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan kami,” kata Rodriguez dalam ucapan video pada malam Rabu.
Lapangan terbang utama Venezuela, Maiquetia, ditutup kerana kerosakan teruk, tambahnya.
“Terdapat negeri yang terjejas teruk. Di ibu negara, Caracas, bangunan runtuh di banyak kawasan. Negeri Miranda dan La Guaira juga telah mengalami kerosakan yang ketara (serta) negeri Aragua, Carabobo dan Falcon,” kata Rodriguez.
Beliau berkata, 20 gegaran susulan telah direkodkan selepas dua gempa bumi itu. – Bernama-Sputnik/RIA Novosti



