UMNO Johor lapor polis, pertahan institusi Diraja Johor

UMNO Johor lapor polis, pertahan institusi Diraja Johor

JOHOR BAHRU: UMNO Johor akan mempertahankan sebarang tuduhan yang berniat memburuk-burukkan imej institusi Diraja Johor oleh mana-mana pihak, termasuklah bekas pemimpin kanan partinya sendiri.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, tuduhan dibuat penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi terhadap institusi Diraja Johor adalah tuduhan berat.

Sehubungan itu katanya, pihaknya terpanggil untuk membuat laporan polis bagi membolehkan tuduhan tersebut disiasat pihak berkuasa mengikut undang-undang sedia ada.

“Sebagai parti yang bertanggungjawab mempertahankan institusi Diraja, sebagai bekas pemimpin tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan menuduh pihak-pihak istana mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.

“Tuduhan itu amat berat oleh seorang pemimpin terhadap institusi Diraja kita. Jadi atas dasar tanggungjawab terhadap parti, saya buat laporan polis untuk menyiasat tuduhan tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, di sini hari ini.

Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau turut memberitahu, pihaknya kesal dengan sebarang tindakan oleh mana-mana pihak yang boleh membuka ruang kepada persepsi negatif terhadap institusi yang amat penting di negara ini.

“Pada masa kita akan berdepan pilihan raya, saya tidak mahu melihat ada pemimpin politik daripada luar membuat sesuatu persepsi yang tidak baik. Ini akan menjejaskan bahawa seolah-olah institusi tersebut ada kaitan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Sebab itu laporan polis dibuat, atas rasa bertanggungjawab untuk mempertahankan institusi Diraja sebagai mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan negara kita,” katanya.

Terdahulu, Mohd. Puad dalam satu kenyataan mengumumkan untuk keluar daripada UMNO dengan mendakwa terdapat campur tangan pihak istana Johor dalam urusan pentadbiran politik di negeri ini.-UTUSAN

Scroll to Top