AMK ingatkan anak muda tidak terpedaya dakwaan Rafizi

AMK ingatkan anak muda tidak terpedaya dakwaan Rafizi

KUALA LUMPUR – Pengundi, khususnya golongan muda, diingatkan agar tidak terpedaya dengan dakwaan dan naratif yang dibawa Parti Bersama Malaysia yang dipimpin Datuk Seri Rafizi Ramli menjelang pilihan raya.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, Rafizi didakwa cuba mempengaruhi rakyat supaya menyalahkan kerajaan dengan mendakwa agenda reformasi gagal dilaksanakan, sedangkan beliau sendiri pernah diberi peluang memegang jawatan kanan dalam kerajaan.

Menurutnya, rakyat terutama pengundi muda kini lebih matang dalam membuat penilaian politik dan tidak lagi mudah terpengaruh dengan retorik serta persepsi yang dibina semata-mata untuk meraih sokongan politik jangka pendek.

“Apa yang lebih penting ialah rekod pencapaian, keupayaan mentadbir dan keberanian politik dalam menyelesaikan masalah rakyat.

“Saya yakin pengundi muda akan membuat keputusan berdasarkan fakta dan rekod pencapaian, bukannya propaganda politik.

“Harapan besar rakyat ketika ini ialah kestabilan politik, peluang pekerjaan, pelaburan berkualiti, pendapatan yang lebih baik serta masa depan yang lebih terjamin,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Danish berkata, prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) di beberapa negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang membuktikan keupayaan gabungan itu mentadbir dengan lebih baik berdasarkan rekod pencapaian.

Menurutnya, Parti Bersama pula masih belum mempunyai rekod pentadbiran yang membanggakan walaupun diterajui dua bekas menteri Kerajaan Madani.

“Akhirnya rakyat akan menilai berdasarkan rekod kerja, bukannya propaganda politik. Ketika parti-parti lain sibuk mencatur percaturan politik dan masa depan parti masing-masing, Perdana Menteri terus memberi tumpuan kepada usaha mentadbir negara serta memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, rakyat akhirnya akan membuat penilaian berdasarkan prestasi sebenar, bukannya retorik politik.

Tambahnya, PH akan terus berusaha menjadi tunjang harapan rakyat Johor dan seluruh negara dalam meneruskan agenda pembangunan serta memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkasakan.

 

Scroll to Top