KUALA LUMPUR – Kurang satu peratus pengguna Budi Madani RON95 (BUDI95) menggunakan lebih daripada 200 liter petrol sebulan sejak ia mula diperkenalkan pada bulan Oktober 2025 hingga Mei lalu, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
“Hanya kurang daripada satu peratus pengguna menggunakan lebih daripada 200 liter sebulan. Setiap orang yang guna subsidi ini dia cucuk (pakai) MyKad jadi kita ada data.
“Kadang-kadang kita kena beri masa untuk melihat trend transaksi (penggunaan). Jadi kita boleh melihat kalau ada apa-apa kepincangan, kerajaan akan menyemak semula untuk tambah baik proses,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) mengenai rasional di sebalik pengumuman kerajaan untuk menyeragamkan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api dengan diesel kini turut meggunakan MyKad.
Hasni turut mempersoalkan sama ada kelayakan 200 liter bagi kedua-dua bahan api mencukupi untuk kegunaan rakyat.
Amir Hamzah berkata, merujuk pada data penggunaan diesel oleh statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula, lebih 80 peratus pengguna mencatat penggunaan di bawah paras 200 liter sebulan dengan purata penggunaan sekitar 140 liter sebulan.
“Tetapi mengambil kira majoriti kenderaan diesel rakyat ialah jenis jip dan pikap kerana menjadi pengangkutan utama barangan untuk peniaga kecil dan kenderaan penumpang di pedalaman, kerajaan menyediakan kelayakan tambahan Budi Madani Diesel (Budi Diesel) 100 liter yang boleh dipohon,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, konflik yang berlaku di Asia Barat melonjakkan harga minyak mentah dunia menyebabkan negara ini tidak terkecuali daripada terkena tempias krisis tersebut.
Menurutnya, subsidi petrol dan diesel sekitar RM800 juta pada Januari dan Februari lalu telah melonjak hampir RM5 bilion sebulan untuk Mac dan April.
Kata beliau, walaupun terdapat petanda positif ke arah persetujuan perdamaian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran harga minyak dunia dijangka kekal tinggi berbanding sebelum konflik bermula.
Selain bekalan fiskal bertambah, ujarnya, hal yang lebih penting adalah kelangsungan bekalan bahan api negara.
“Walaupun kerajaan bersama Petronas bertungkus-lumus mempelbagaikan sumber bekalan bagi memastikan kelangsungan bekalan bahan api negara tetapi usaha ini akan sia-sia sekiranya isu ketirisan tidak ditangani dengan tegas.
“Hal ini lebih ketara di Sabah dan Sarawak kerana bukan warganegara juga menikmati harga diesel bersubsidi RM2.15. Jurang harga yang besar dengan negara jiran mewujudkan ruang penyeludupan dan sukar dibendung walaupun penguatkuasaan telah ditingkatkan,” kata beliau.
Amir Hamzah menambah, sebagai petunjuk jelas, jumlah diesel yang terjual di stesen minyak di Sabah dan Sarawak pada bulan Mac dan April 2026 telah mencecah 200 juta liter sebulan.
Kata beliau, ia dianggarkan dua kali ganda lebih tinggi berbanding tahap yang sepatutnya berdasarkan bilangan kenderaan diesel yang berdaftar.
“Penetapan harga runcit pada tahap tanpa subsidi di seluruh negara akan membantu menutup ketirisan ini,” ulasnya.



