Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan akses pendidikan tinggi yang lebih adil kepada semua pelajar.
Perjuangkan keadilan pendidikan

Memetik laporan Berita Harian, beliau yang hadir di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas berdepan pertuduhan berkaitan kenyataan berhubung isu kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), menyatakan tidak akan berundur daripada memperjuangkan perkara tersebut, khususnya demi peluang pendidikan anak keluarga berpendapatan rendah.
“Hari ini saya dituduh dengan perkara yang pada saya perlu terus kita bongkar kerana saya mempersoalkan polisi dan dasar kemasukan universiti yang pelbagai untuk anak bangsa kita sendiri.
“Saya akan kekal istiqamah memperjuangkan perkara ini demi keadilan pendidikan buat semua rakyat negara ini, kita perlu berusaha mengembalikan hak anak kita mendapat pendidikan dan akses universiti yang adil berdasarkan merit,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Seremban, hari ini.

Artikel lain: Haim Hilman didakwa isu masuk universiti guna ‘pintu belakang’
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang didakwa boleh menimbulkan kebimbangan awam berkaitan isu kemasukan IPTA.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 13 Jun lalu antara jam 8 malam hingga 12 tengah malam di Markas PAS Seremban, di sini, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Sumber: Berita Harian (Ahmad Hasbi)




