am@hmetro.com.my
Melaka: Polis masih menunggu keputusan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian seorang pelajar lelaki yang meninggal dunia yang rebah selepas menjalani latihan ragbi, petang semalam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, bedah siasat terhadap pelajar tingkatan 2 berusia 14 tahun itu dijalankan pagi tadi bagi menentukan punca sebenar kematian.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika pelajar yang tinggal di asrama itu sedang menjalani latihan ragbi di sekolahnya.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang berehat selepas sesi latihan.
“Mangsa tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital kira-kira jam 6 petang, namun disahkan meninggal dunia pada jam 6.45 petang,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di Bukit Beruang di sini, hari ini.
Dzulkhairi berkata, pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh mangsa dan pelajar itu dilaporkan berada dalam keadaan sihat sebelum kejadian.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar tingkatan dua meninggal dunia selepas rebah ketika mendengar taklimat ragbi daripada jurulatih di sekolahnya di daerah Melaka Tengah.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang berusia 14 tahun sempat mengikuti sesi latihan ragbi sebelum aktiviti berkenaan dihentikan seketika untuk berehat dan mendengar taklimat.
Sementara itu, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, mengesahkan kejadian yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Telok Mas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




