ASB 3 Didik agih pendapatan 5.50 sen seunit

ASB 3 Didik agih pendapatan 5.50 sen seunit

Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan dana harga tetap, Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) sebanyak 5.50 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.

Pembayaran itu membabitkan jumlah peruntukan agihan pendapatan keseluruhan sebanyak RM480 juta yang akan memberi manfaat kepada seramai 354,651 pemegang unit yang melabur dalam dana berkenaan.

Sehingga kini, para pelabur secara keseluruhannya memegang sebanyak 9.85 bilion unit, sekali gus membuktikan keyakinan tinggi masyarakat Bumiputera terhadap pengurusan dana pelaburan jangka panjang yang dikendalikan oleh ASNB.

Prestasi memberangsangkan bagi tahun kewangan ini mencatatkan pulangan sebanyak 5.50 peratus, sekali gus berjaya mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank yang berada pada paras 2.05 peratus, dengan kelebihan ketara sebanyak 345 mata asas.

Sehingga 22 Jun 2026, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM568 juta, didorong oleh peningkatan agihan dividen berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 5.25 sen seunit.

Peningkatan agihan itu mencerminkan daya tahan dana berkenaan yang kekal utuh di tengah-tengah persekitaran pelaburan global yang mencabar, termasuk ketidaktentuan kadar faedah serta peningkatan ketegangan geopolitik dunia.

Menurut ASNB, prestasi mampan berkenaan dicapai hasil pendekatan pelaburan berdisiplin serta keupayaan memanfaatkan peluang pasaran yang dipacu oleh kepimpinan teknologi moden demi memberikan nilai terbaik kepada pemegang unit.

Dana itu terus menjana pendapatan utama daripada keuntungan direalisasikan dan dividen merentasi portfolio ekuiti domestik dan global, di samping memperkukuh peruntukan dalam aset pendapatan tetap bagi meningkatkan kestabilan.

Dalam pada itu, ASNB turut memperkenalkan inisiatif baharu Zakat al-Mustaghallat melalui kaedah pembayaran kolektif (Khultah) bagi memudahkan pengurusan zakat dalam kalangan pelabur Muslim secara automatik melalui Kelas B.

Menerusi struktur ini, kadar zakat sebanyak 2.57 peratus dikenakan ke atas dividen, menjadikan kadar dividen bersih diselaraskan sebanyak 5.36 sen seunit, sekali gus menawarkan penyelesaian lancar tanpa menjejaskan daya saing pulangan.

Pengiraan agihan pendapatan adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum sepanjang tahun kewangan dan jumlah tersebut akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai 2026.

Bagi membolehkan proses pengiraan berjalan lancar, urus niaga ASB 3 Didik akan ditangguhkan sementara dari 26 hingga 30 Jun 2026, sebelum dibuka semula sepenuhnya di semua saluran dan aplikasi myASNB bermula 1 Julai ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top