Benarkah solat fardu ditinggalkan tidak perlu diqada?

Benarkah solat fardu ditinggalkan tidak perlu diqada?

Soalan

Saya terdengar ada seorang ustaz dari luar negara menyatakan tidak perlu mengqada solat fardu yang ditinggalkan sebelum ini. Apakah benar pandangan ini?

Jawapan

Dalam isu solat fardu yang ditinggalkan, majoriti ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali menyatakan solat fardu yang ditinggalkan itu wajib diqada sama ada tertinggal kerana tidur, terlupa atau sengaja meninggalkannya.

Ia berdasarkan hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang terlupa solat atau tertidur daripadanya, maka kafarahnya ialah dia menunaikannya apabila dia mengingatinya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Jika yang terlupa dan tertidur sekali pun wajib untuk qada, maka jumhur ulama berhujah bahawa orang yang sengaja meninggalkan solat adalah lebih utama untuk dia mengqadakannya, di samping wajib bertaubat.

Adapun jika dia meninggalkan solat fardu sejak bertahun-tahun lamanya, dia wajib juga untuk mengqadakan semua solat tersebut dengan cara melakukan satu solat qada itu selepas melakukan solat fardu setiap hari atau mengikut kemampuannya.

Apa yang penting dia berusaha untuk menggantikan hutang solat yang ditinggalkannya itu. 

Scroll to Top