SPRM tak terkecuali disiasat, namun PDRM paling tinggi kes

SPRM tak terkecuali disiasat, namun PDRM paling tinggi kes

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hanya 226 kes tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh empat tahun bermula 2021, berbanding tiga lagi badan penguatkuasaan utama negara.

Statistik Jabatan Perkhidmatan Awam menunjukkan, kes membabitkan SPRM pada 2021 adalah sebanyak 40 kes, diikuti 68 kes (2022), 51 kes (2023) dan 67 kes (sehingga September 2024).

Dalam tempoh sama, tindakan membabitkan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula adalah 14,211 kes, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) (348 kes) dan Jabatan Penjara Malaysia (312 kes).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata dalam tempoh 2021 hingga Jun tahun ini, sebanyak 21 kertas siasatan rasuah dibuka terhadap pegawai SPRM.

Berbanding PDRM, katanya, sebanyak 377 kertas siasatan kes rasuah dibuka, JIM (234) dan Jabatan Penjara (20).

“Data yang direkodkan adalah keputusan kes tatatertib yang diambil membabitkan warga SPRM dan agensi ini juga mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa dan pelanggaran integriti.

“Setiap aduan atau maklumat yang diterima akan dinilai dan diuruskan mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan sekiranya terdapat asas dan pembuktian yang mencukupi, tindakan tatatertib atau perundangan akan diambil tanpa mengira pangkat atau jawatan pegawai yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang disiarkan di laman web Parlimen, yang meminta kerajaan menerbitkan statistik integriti warga SPRM secara tahunan sebagai petunjuk akauntabiliti institusi.

Azalina berkata, tahap integriti warga SPRM juga turut dipantau oleh badan pemantau bebas melalui Jawatankuasa Aduan (JKA) di bawah Seksyen 15 Akta SPRM 2009 [Akta 694].

“Ia berfungsi bagi memantau pengendalian SPRM membabitkan aduan salah laku pegawai di suruhanjaya ini yang tidak bersifat jenayah. Mereka yang dilantik menganggotai JKA terdiri daripada golongan profesional dalam pelbagai bidang,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan MADANI dan SPRM sendiri akan terus memperkasakan mekanisme pemantauan dalaman serta memperkukuh budaya integriti dalam kalangan warga SPRM bagi memastikan tahap akauntabiliti yang tinggi dapat dikekalkan dan keyakinan masyarakat terhadap SPRM sentiasa terpelihara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top