Gempa Venezuela: Angka korban meningkat kepada 188

Gempa Venezuela: Angka korban meningkat kepada 188

La Guaira, Venezuela: Rakyat Venezuela pada Khamis bertungkus lumus untuk menyelamatkan orang tersayang yang terperangkap hidup-hidup di bawah runtuhan bangunan selepas dua gempa bumi kuat yang setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 188 orang.

Bangunan-bangunan retak, runtuh dan condong selepas gempa bumi yang menurut Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) pada magnitud 7.2 dan 7.5, melanda utara Venezuela, dalam masa kurang seminit pada malam Rabu.

Gegaran susulan yang kuat masih dapat dirasai pada Khamis apabila ketua Dewan Undangan Negeri Jorge Rodriguez berkata, jumlah kematian meningkat kepada 188, dengan 1,520 cedera.

Usaha menyelamat bergerak perlahan, dengan mayat masih kelihatan di bawah runtuhan beberapa jam selepas gempa bumi, sementara masa semakin suntuk untuk menyelamatkan sebahagian daripada mereka yang terperangkap dan cedera.

Di sebuah bandar di negeri La Guaira yang paling teruk terjejas, di utara Caracas, penduduk mendengar jeritan seorang gadis muda yang meminta bantuan selama berjam-jam dari bawah runtuhan.

“Kami memerlukan orang ramai, anggota tentera, untuk datang dan membantu supaya kami dapat mengeluarkannya,” kata penduduk Dani Rizo, 48.

Tidak lama kemudian, gadis itu meninggal dunia, kata penduduk tempatan kepada AFP.

Di tempat lain di La Guaira, jeritan tiga orang kedengaran di bawah runtuhan bangunan.

“Mereka masih hidup. Tiada apa lagi yang boleh kami lakukan,” kata seorang penduduk, Antonio Bermudez.

“Kami tidak mempunyai sebarang alat. Kami tidak mempunyai cara untuk membantu.”

Seorang doktor di Hospital Domingo Luciani di bandar itu, yang enggan namanya disiarkan berkata, kanak-kanak tiba dengan ambulans bersendirian selepas ditarik keluar dari runtuhan.

“Sesetengah kanak-kanak memberikan nama mereka, manakala yang lain tiba dengan pita pengenalan di lengan mereka,” katanya.

Presiden sementara Delcy Rodriguez melawat La Guaira pada Khamis selepas kawasan itu diisytiharkan sebagai “zon bencana.”

Wartawan AFP menyaksikan penduduk menjarah pasar raya tempatan di bandar itu. Pengarah Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC) Venezuela, Nicole Kast, menyifatkan situasi itu sebagai “bencana”.

Tawaran bantuan mencurah-curah dari seluruh dunia dengan Switzerland, Sepanyol, Perancis, Portugal dan Mexico antara yang menghantar pakar dan pasukan penyelamat ke Venezuela.

China, India, Brazil dan juga Iran yang dilanda perang menawarkan bantuan, manakala Paus Leo XIV menghantar bantuan awal sebanyak 100,000 euro (kira-kira RM467,000) kepada negara itu.

Amerika Syarikat berkata, ia sedang menggerakkan bantuan sebanyak AS$150 juta (kira-kira RM616 juta).

Pantai utara Venezuela terletak di sempadan antara plat tektonik Caribbean dan Amerika Selatan, tetapi tidak mengalami gempa bumi yang ketara sejak 1997, apabila 73 orang terkorban. Satu lagi gempa bumi pada 1967 mengorbankan 236 orang.

Gempa bumi magnitud 7.5 pada Rabu adalah yang paling kuat sejak 29 Oktober 1900, apabila gegaran magnitud 7.7 melanda luar pesisir negara itu.

Gempa pada Rabu itu turut dirasai di seluruh Colombia, di mana penduduk di Bogota mengosongkan bangunan sebagai langkah berjaga-jaga.

Gegaran juga dilaporkan di beberapa bandar di utara Brazil, menurut rangkaian pemantauan seismik negara itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top