hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Taktik sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba melarikan diri dan bersembunyi daripada pihak berkuasa gagal apabila pergerakan mereka berjaya dikesan melalui pemantauan udara menggunakan dron.
Tindakan pantas itu membolehkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 32 warga asing dalam satu operasi bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sebuah kawasan perniagaan di Taman Kinrara, Puchong di sini, semalam.
JIM dalam kenyataan berkata, penggunaan dron sebagai aset sokongan nyata meningkatkan keberkesanan operasi dengan membantu pasukan di lapangan mengenal pasti laluan serta lokasi persembunyian.
“Ia sekali gus menghalang cubaan lolos warga asing terbabit dengan cara yang lebih tersusun dan selamat.
“Operasi yang bermula pada jam 12 tengah hari itu membabitkan seramai 46 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan JIM bersama tujuh pegawai KPDN Putrajaya,”katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas 117 individu di 18 premis perniagaan, pihak berkuasa menahan 32 warga asing berusia lingkungan 22 hingga 43 tahun membabitkan warganegara Myanmar, Indonesia, India, Bangladesh, dan Pakistan.
“Semua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Selain tangkapan warga asing, sebanyak empat keping Borang 29 (Saman) turut dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi tujuan membantu siasatan. Pada masa sama, pihak KPDN telah mengenakan tiga tindakan kompaun di bawah Akta Antipencatutan 2011 berjumlah RM600 kepada pemilik premis,”katanya.
Katanya, semua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“JIM menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dan bakal mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati menggaji serta melindungi PATI di negara ini,”katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




