PRN Johor: UMNO Terengganu gempur enam DUN, jentera dilarang main isu 3R

PRN Johor: UMNO Terengganu gempur enam DUN, jentera dilarang main isu 3R

​KUALA TERENGGANU – UMNO Terengganu menggerakkan seramai 300 jentera parti bagi menggempur enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah diamanahkan kepada mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.

​Timbalan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, kesemua jentera daripada pelbagai sayap termasuk Pergerakan Wanita, Pemuda, dan Puteri kini sudah berada di zon masing-masing bagi memulakan gerak kerja kempen.

​Menurutnya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memberi tanggungjawab besar kepada UMNO negeri untuk bertindak sebagai ‘bapa angkat’ kepada enam DUN terbabit yang terletak di tiga kawasan Parlimen.

​”UMNO Terengganu akan menjadi bapa angkat kepada DUN Endau dan DUN Tenggaroh di bawah Parlimen Mersing.

​”Empat lagi kawasan ialah DUN Johor Lama dan DUN Sedili (Parlimen Kota Tinggi), manakala baki dua lagi ialah DUN Tanjung Surat serta DUN Bandar Penawar di bawah Parlimen Pengerang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

​Mengulas mengenai profil kawasan tersebut, Nik Dir menjelaskan cabaran utama jentera adalah untuk merampas semula kawasan yang terlepas ke tangan lawan sebelum ini selain mengekalkan kubu kuat sedia ada.

​”Satu daripada enam DUN berkenaan iaitu DUN Endau telah dimenangi oleh pihak pembangkang pada PRN Johor tahun 2023 lalu. Bagaimanapun, baki lima lagi DUN sememangnya dikuasai oleh Barisan Nasional (BN),” katanya lagi.

​Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Marang memberikan peringatan tegas kepada seluruh jentera agar sentiasa menjaga etika sepanjang tempoh berkempen demi memelihara keharmonian.

​Tegasnya, sebarang cubaan untuk membangkitkan sentimen sensitif yang boleh mencetuskan ketegangan tidak akan dikompromi.

​”Di sebalik keghairahan berkempen, saya mahu ingatkan bahawa jentera sudah ditegah sama sekali daripada membangkitkan sebarang isu berkait perkauman, agama, dan institusi diraja (3R).

​”Sebaliknya, kita akan menggunakan pendekatan yang lebih matang iaitu kaedah berkempen secara bersemuka dengan semua pengundi, sama seperti strategi berkesan yang kita lakukan ketika membantu kempen PRK DUN Nenggiri pada tahun 2024 lalu,” ujarnya.

​Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 11 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRN Johor ke-16, manakala hari penamaan calon pula dijadualkan berlangsung pada 27 Jun.

 

 

Scroll to Top