Semakan ditolak, Isa Samad kekal dipenjara 6 tahun, denda RM15.45 juta

Semakan ditolak, Isa Samad kekal dipenjara 6 tahun, denda RM15.45 juta

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Bekas Pengerusi FELDA, Datuk Mohd Isa Abdul Samad, kekal dipenjarakan enam tahun dan didenda RM15.45 juta atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3.09 juta membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan (panel semakan) yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi, menolak permohonan semakan oleh Mohd Isa selepas mendapati hak beliau untuk merayu serta didengar sudah diberikan panel terdahulu, dan ia tidak terkhilaf dalam mengembalikan sabitan dan hukuman berkenaan.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengembalikan sabitan dan hukuman ke atas Mohd Isa, 77, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan beliau oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang sedang menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh itu memfailkan permohonan semakan terbabit pada 4 Mac lalu bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Azizah yang membacakan penghakiman panel kali ini berkata, panel Mahkamah Persekutuan terdahulu mempunyai kuasa menilai semula keterangan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, sebelum mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan serta mengembalikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi.

“Hak untuk merayu dan hak untuk didengar telah diberikan sepenuhnya oleh panel Mahkamah Persekutuan terdahulu, namun pemohon memilih untuk tidak menggunakan peluang itu.

“Seperti yang diputuskan oleh mahkamah ini dalam kes Datuk Seri Mohd Najib (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) lawan Pendakwa Raya, tidak berlaku salah laksana keadilan sekiranya mahkamah telah memberi peluang kepada pihak pembelaan untuk mengemukakan hujahan, walaupun pihak pembelaan memilih untuk tidak berbuat demikian.

“Atas alasan itu, kami mendapati tiada berlaku salah laksana keadilan. Oleh yang demikian, permohonan ini dengan ini ditolak,” katanya.

Berita lanjut menyusul

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top