Gusar fikir masa depan jika tidak lagi dalam kerjaya seni

puterialia@hmetro.com.my

Sepanjang bergelar anak seni, pelakon Namron tidak pernah terfikir untuk berputus asa dalam industri seni kerana menganggap bidang ini adalah satu-satunya bidang yang mahir dilakukannya.

Bagaimanapun, Namron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, 57, pernah memikirkan nasibnya jika dia tidak berada dalam bidang seni ini.

“Tak ada lagi setakat ini (berputus asa). Saya rasa ini (berlakon) sahaja yang saya boleh buat sebab saya cuba juga fikir nanti kalau sudah tua, tiada kerja dan orang tak panggil berlakon, saya nak buat apa?

“Saya ada terfikir juga perkara itu. Saya nak buat directing (mengarah) pun orang tak panggil, nak berlakon pun tawaran makin kurang,” katanya kepada Harian Metro.

Bukan itu sahaja, Namron yang juga suami kepada pelakon, Jun Lojong pernah mencuba nasib menceburi bidang perniagaan termasuk perniagaan berskala kecil dan industri makanan dan minuman (F&B).

Namun, percubaan itu gagal membuahkan hasil jangka panjang kerana semua perniagaan yang diusahakan tidak dapat bertahan kerana tiada rasa minat untuk melakukannya.

“Saya cuba nak berniaga, cuba buat juga perniagaan kecil, perniagaan makanan dan minuman juga, tapi semua tak kekal dan tak bertahan. Minat (saya) tak ada. Kita paksa buat benda itu tanpa ada ‘passion’ dalam diri,” katanya.

Biarpun semangat berkarya masih membara, Namron tidak menolak hakikat bahawa faktor usia turut membawa peredaran emosi yang berbeza.

Katanya, perasaan ‘hype’ atau kehangatan populariti yang semakin merosot mula bertandang, terutamanya apabila dihimpit masalah kekurangan tawaran kerja.

“Cuma sejak kebelakangan ini bila umur macam ini, saya pun ada rasa macam ‘hype’ dah kurang. Saya masih nak buat lagi sebagai kerja, tapi mungkin rasa-rasa itu timbul bila tiada tawaran berlakon. Bila tiada tawaran, saya mula fikir bukan-bukan,” kongsinya.

Bercerita mengenai cabaran terbesar di kerusi pengarahan, Namron yang pernah menjadi pengarah dalam beberapa naskhah filem berkata, kesukaran bukanlah terletak pada tugas mengarah, sebaliknya mendapat peluang pekerjaan, meraih kepercayaan pihak lain, serta mencari dana bagi menghasilkan filem.

Namron yang memulakan langkah menerusi filem bebas atau indie, dia pernah menghasilkan filem pertama berjudul Gedebe pada 2003, diikuti Gadoh pada 2009, serta filem Jalan Pintas pada 2011.

“Kalau tanya saya, bagi saya susah untuk nak jadi director (pengarah). Susah nak dapatkan job (kerja), nak dapat kepercayaan orang untuk bagi kita direct (mengarah), nak keluarkan duit untuk bagi kita buat filem. Amat susah.

“Saya lakukan semua ini sebab passion (minat) sahaja. Kita create (cipta) projek, kumpul kawan-kawan, keluar duit sikit-sikit dan hasilkan filem,” katanya.

Manakala, filem PSIKO: Pencuri Hati yang dihasilkan pada 2013 serta filem One, Two, Jaga pada 2018 adalah filem yang dihasilkan Namron yang berjaya keluar di layar perak.

“Lepas habis filem One Two Jaga, sampai sekarang saya tiada offer (tawaran) lagi untuk siapa-siapa nak tawar saya untuk direct (mengarah),” katanya lagi.

Namun, Namron yang pernah memenangi anugerah pengarah terbaik menerusi filem One Two Jaga pada Festival Filem Malaysia ke-30 meluahkan hasrat mendalam untuk kembali mengemudi kerusi pengarah bagi menghasilkan filem terbaharu sebelum dia menutup mata.

Menyentuh mengenai perjalanan seninya selepas dua dekad, Namron mengakui masih menyimpan impian besar untuk mengarahkan naskhah baharu kerana sudah lama tidak menghasilkan filem sendiri.

“Saya rasa saya nak buat filem lagi sebab saya dah lama tak direct (mengarah) filem. Saya harap saya akan ada peluang untuk direct (mengarah) filem sebelum saya pergi selama-lamanya,” katanya.

Malah, pelakon versatil itu turut mendedahkan dia bakal menerajui sebuah filem sebagai pelakon utama, meskipun tidak menafikan usianya kini sering menimbulkan persoalan sama ada dirinya masih relevan atau sebaliknya untuk memegang watak utama.

“Dalam usia macam ni, kadang-kadang saya tertanya relevan lagi ke untuk jadi leading (watak utama)? Tapi masih ada penerbit dan pengarah masih percaya saya untuk filem mereka.

“Saya bersyukur juga sebab dah lama tak pegang watak utama,” katanya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top