Betis 'curi' tiga mata di Villarreal

Villareal: Real Betis terus melonjak ke tangga ketiga La Liga selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Villarreal pada Isnin, sekali gus meninggalkan skuad Yellow Submarine itu terus kempunan meraih kemenangan pertama musim ini dan terperosok di zon penyingkiran.

Skuad bimbingan Inigo Perez kini menduduki tangga ke-18 selepas gagal mencatat sebarang kemenangan daripada lima aksi liga selain turut mengalami kekalahan dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara.

Jaringan Cucho Hernandez dan Natan membantu Betis membawa pulang tiga mata berharga sekali gus berkongsi mata dengan Real Madrid, selepas Gerard Moreno terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di hadapan.

“Buat masa ini segala-galanya tidak menjadi buat kami, pasukan lawan kerap menghukum kesilapan kami,” kata Moreno kepada Movistar.

“Kami perlu kekal bersatu dan menuntut prestasi lebih tinggi daripada diri sendiri…mungkin apabila kami ketinggalan, rasa gelisah mula menguasai diri dan situasi menjadi semakin sukar.

“Sukar untuk menjelaskan (mengapa) mata yang kami kutip terlalu sedikit..kini kami perlu bersatu sebagai satu pasukan lebih daripada sebelum ini.”

Juara bertahan, Barcelona terus menerajui takhta carta selepas mencatatkan lima kemenangan berturut-turut, diekori rapat Real Madrid dan Real Betis.

“Kami tenang tetapi teruja. Fasa sukar pasti akan tiba tetapi perpaduan, kejujuran dan kerja keras adalah perkara yang tidak boleh dikompromi di sini,” kata Hernandez.

Villarreal memiliki beberapa peluang terbaik pada separuh masa pertama namun terpaksa melangkah ke bilik persalinan dengan ketinggalan gol.

Penjaga gol Betis, Alvaro Valles bertindak cemerlang menepis percubaan Santi Comesana ke tiang gol, manakala gol terhasil daripada Moreno dan Tajon Buchanan dibatalkan kerana kedudukan ofsaid.

Tuan rumah akhirnya memecah kebuntuan menerusi Moreno pada minit ke-29 apabila dia menyempurnakan hantaran Buchanan dari jarak dekat.

Bagaimanapun, Betis bertindak pantas meledak dua gol dalam tempoh empat minit sebelum tamat separuh masa pertama untuk mendahului permainan.

Hernandez bijak menyambar bola muntah selepas penjaga gol Villarreal, Peter Gulacsi menepis percubaan Ez Abde untuk mengikat kedudukan buat anak buah Manuel Pellegrini.

Penjaga gol kebangsaan Hungary itu sekali lagi melakukan kesilapan bagi gol kedua Betis apabila gagal mengemas bola tandukan hasil sepakan sudut, membolehkan Natan menolak mudah bola ke dalam gawang.

Pasukan pelawat berpeluang melebarkan jurang pada separuh masa kedua namun percubaan Hernandez berjaya disekat manakala Pablo Fornals gagal mengawal bola dengan kemas ketika berada di hadapan pintu gol.

Gulacsi kemudiannya menebus kesilapan dengan melakukan beberapa tangkapan kemas menafikan percubaan Nelson Deossa dan Antony ketika Betis terus melancarkan serangan berbahaya, walaupun kegagalan mengunci kemenangan lebih awal itu tidak memakan diri mereka.

“Kami mempunyai tiga atau empat peluang terhidang, saya sendiri memiliki dua peluang yang sepatutnya menghasilkan gol,” akui Hernandez.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top