SHAH ALAM: Seorang pelajar lelaki yang dituduh membunuh remaja perempuan dengan menikamnya sebanyak 200 kali sehingga maut di tandas sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, tahun lalu, dibebaskan daripada pertuduhan selepas Mahkamah Tinggi mendapati dia tidak waras ketika kejadian.
Hakim Adlin Abd. Majid membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati tertuduh mengalami skizofrenia dan memenuhi keadaan ketidakwarasan seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.
Pada prosiding keputusan akhir kes pembelaan semalam, mahkamah turut memerintahkan pelajar berkenaan menjalani rawatan psikiatri.
Peguam mewakili tertuduh, Kitson Fong berkata, pihak pembelaan berjaya membuktikan wujud ketidakwarasan dari sudut perubatan (medical insanity) yang turut memenuhi elemen ketidakwarasan dari sudut perundangan (legal insanity).
“Hakim dalam alasan penghakimannya membentangkan alasan bagi setiap aspek sejak peringkat pendakwaan hinggalah tertuduh dipanggil membela diri,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding di sini semalam.
Prosiding kes berkenaan dijalankan secara tertutup mengikut peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam prosiding pembelaan, dua saksi dipanggil termasuk Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Dr. Ian Lloyd Anthony yang memberikan keterangan berhubung keadaan mental tertuduh.
Menurut Kitson, keadaan psikologi pelajar terbabit disahkan pakar berkenaan menerusi laporan bertulis dan keterangannya di mahkamah, termasuk ketika soal balas.
Katanya, tertuduh disahkan mengalami skizofrenia yang sangat serius dan agresif ketika kejadian sehingga mempengaruhi pemikiran serta tindakannya.
“Dia memang disahkan ada skizofrenia yang sangat serius dan agresif pada masa itu sehingga tertuduh menganggap dia bukan diri sendiri dan mendengar suara untuk melakukan pembunuhan.
“Perkara itu tidak dinafikan oleh pihak pendakwaan,” katanya.
Beliau berkata, pelajar terbabit dijangka menjalani rawatan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta sebelum sebarang keputusan lanjut mengenai pembebasannya dibuat dengan perkenan Sultan Selangor seperti diperuntukkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam pada itu, keluarga tertuduh berharap pelajar berkenaan masih diberikan peluang meneruskan pembelajaran sepanjang menjalani rawatan, terutama kerana dia dijangka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh dua tahun lagi.
“Keluarga berharap dapat memberikan buku dan sebagainya dengan harapan dia boleh mengikuti pembelajaran seperti homeschool, seterusnya diberi pengampunan,” katanya.
Tertuduh diwakili Kitson, Chew Jee San, Angel Choo dan Yan Zhi Wei, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.
Pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan pelajar berkenaan membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan selepas 11 saksi dipanggil memberi keterangan.
Sebelum itu, dia mengaku tidak bersalah pada Februari lalu atas pertuduhan membunuh rakan sekolahnya berusia 16 tahun di tandas perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara 4, Bandar Utama, Petaling Jaya.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara pukul 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, kanak-kanak tidak boleh dikenakan hukuman mati mengikut Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001. Sebaliknya, Seksyen 97(2) akta sama memperuntukkan kanak-kanak yang disabitkan kesalahan hendaklah ditahan di penjara atas perkenan Raja atau Yang di-Pertua Negeri. – UTUSAN
