am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Barisan Nasional (BN) Johor hari ini melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang mengandungi 63 tekad berteraskan enam teras Maju Johor dengan tema “Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan.”
Pengerusinya, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata manifesto itu dirangka berasaskan pengalaman mentadbir negeri sepanjang empat tahun lalu serta mengambil kira keperluan sebenar rakyat Johor.
Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan rakyat kepada BN pada pilihan raya lalu membolehkan pelbagai inisiatif dan dasar dilaksanakan demi kemajuan negeri.
“Syukur alhamdulillah. Empat tahun lalu, Bangsa Johor memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk memimpin negeri ini. Dalam tempoh itu, banyak yang telah kita usahakan dan capai bersama.
“Berbekalkan pengalaman serta rekod pencapaian tersebut, saya memperkenalkan Manifesto Barisan Nasional Johor yang menggariskan 63 tekad berteraskan enam teras Maju Johor,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.
Menurut Onn Hafiz, antara komitmen utama yang ditawarkan termasuk memperkukuh Bantuan Kasih Johor (BKJ) secara bersasar, menyediakan skim bayaran deposit sewaan rumah untuk orang muda, meningkatkan akses pemilikan rumah subsidi menerusi dana RM100 juta serta meneruskan bantuan rumah pertama, bantuan masuk rumah dan bantuan sewa rumah.
Selain itu, katanya, BN turut menyasarkan pewujudan 200,000 peluang pekerjaan berkualiti untuk anak Johor, pengecualian bayaran lesen perniagaan tahun pertama kepada penjaja dan peniaga kecil serta penambahan dana pembiayaan mikro tanpa faedah sebanyak RM100 juta.
“Dalam aspek ekonomi, kita juga mahu melonjakkan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Johor dalam rantaian bekalan pelaburan strategik, di samping memperkukuh Dana Pendidikan Orang Muda Johor dengan peruntukan RM100 juta, meneruskan insentif mahasiswa anak Johor serta melaksanakan Program Semarak Isya’,” katanya.
Beliau menegaskan setiap tekad yang digariskan bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya dibina berdasarkan rekod pentadbiran serta kemampuan kerajaan BN melaksanakan agenda pembangunan negeri.
“Ia bukan sekadar janji, tetapi dibina atas pengalaman mentadbir, rekod yang telah dibuktikan dan usaha untuk membawa Johor lebih maju,” katanya.
Onn Hafiz turut menggesa rakyat Johor memberikan mandat penuh kepada BN bagi memastikan agenda pembangunan yang sedang dilaksanakan dapat diteruskan.
“Ayuh Bangsa Johor! Berikan Barisan Nasional mandat penuh untuk meneruskan apa yang telah dibuktikan demi Johor yang lebih maju, makmur dan sejahtera,” katanya.
Pada PRN Johor 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH memperoleh 12 kerusi, PN tiga kerusi dan MUDA satu kerusi.
Hari penamaan calon ditetapkan esok diikuti pengundian awal pada 7 Julai, manakala hari pengundian pada 11 Julai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




