PETALING JAYA: Penganjuran Forum Aeroangkasa Selangor bersempena dengan Sidang Kemuncak MyAERO 2026 pasca-pandemik menyasarkan pengukuhan kedudukan strategik Malaysia dalam rantaian nilai aeroangkasa dan mobiliti masa hadapan di peringkat serantau.
Sidang kemuncak dua hari yang diterajui Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia (NAICO Malaysia) dengan sokongan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu berfungsi sebagai hab bagi mempercepatkan pelaburan bernilai tinggi dan memacu kerjasama rentas sempadan.
Membawa tema Memajukan Rantaian Nilai Aeroangkasa Merentasi Rantau, platform ekonomi ini menfokuskan kepada keupayaan pasaran tempatan dalam sektor penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO), pembuatan aeroangkasa serta pengenalan instrumen ekonomi altitud rendah.
“Langkah agresif Invest Selangor Berhad mempromosikan ekosistem industri negeri menerusi infrastruktur teknikal bertaraf dunia seperti di Taman Aero Selangor (SAP) dan Impeccable Vintage Properties (IVP) Khazanah, dilihat kritikal bagi mengekalkan Selangor sebagai pemacu utama pertumbuhan industri aeroangkasa negara.
“Dalam pada itu, pasaran aeroangkasa domestik kini sedang mengemudi cabaran kos operasi global ekoran ketidaktentuan geopolitik semasa yang memberi kesan langsung kepada gangguan ruang udara antarabangsa dan rantaian bekalan logistik.
“Bagi mengukuhkan rantaian bekalan, agensi industri seperti UMW Aerospace, Boeing Composites Malaysia dan Zenix Aerospace UPECA terus mempertingkatkan integrasi sistem dan ketahanan pengeluaran komponen bagi menembusi pasaran global,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, pasaran MRO tempatan terus diterajui oleh pemain industri utama seperti Asia Digital Engineering (ADE), Perkhidmatan Kejuruteraan MAB (MABES), Sepang Aircraft Engineering dan Skyways Technic menerusi pemerkasaan agenda pendigitalan dan penyediaan perkhidmatan bernilai tinggi komprehensif.
Sebagai pelan pertumbuhan masa hadapan, konsortium industri turut meneliti potensi kawal selia dan kesediaan pasaran terhadap model ekonomi altitud rendah hasil perkongsian kepakaran teknologi bersama jawatankuasa penganjur dari Wuhu, China serta penglibatan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
Acara dinamik ini berjaya menghimpunkan lebih 200 delegasi korporat, pelabur dan pengilang peralatan asli (OEM) dari Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia, China, serta Perancis bagi meneroka unjuran pertumbuhan pasaran penerbangan yang mampan. – UTUSAN




