BSN TeachersCard 'payung' kebajikan, hargai pengorbanan guru

BSN TeachersCard 'payung' kebajikan, hargai pengorbanan guru

Kuala Lumpur : Inisiatif BSN TeachersCard hasil kerjasama strategik antara Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) terus diperkukuh bagi memastikan kebajikan warga pendidik di seluruh negara sentiasa terbela menerusi pelbagai manfaat kewangan dan ganjaran eksklusif.

Pengerusi YGMB, Datuk Abdul Muie Ngah berkata, kad yang diperkenalkan khusus untuk guru dan warga pendidikan sejak 2013 itu adalah simbol tanda penghargaan tertinggi terhadap sumbangan besar mereka dalam membentuk modal insan negara.

Menurutnya, susulan pelancaran awal sempena Hari Guru Kebangsaan 2013, YGMB kini mengambil langkah proaktif memperbaharui kerjasama terbabit bersama BSN demi menawarkan manfaat yang jauh lebih menarik dan segar.

“Kerjasama antara BSN dan YGMB turut bertujuan memperkasakan aspek kebajikan guru melalui pelbagai insentif kewangan, di samping membantu mengukuhkan dana kebajikan warga pendidik,” ujarnya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid menyatakan rasa bangga apabila pihaknya dapat terus menyokong penawaran kad eksklusif berkenaan.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen BSN dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang inklusif, di samping mengiktiraf peranan penting para pendidik dalam membentuk masa depan negara,” katanya.

Antara kelebihan utama BSN TeachersCard termasuklah ganjaran BSN Happy Rewards, kemudahan pelan ansuran mudah serta perlindungan kemalangan perjalanan kepada pemegang kad yang layak.

Menariknya, setiap transaksi runcit yang dilakukan menggunakan kad berkenaan turut menyumbang terus kepada dana YGMB, sekali gus membantu yayasan terbabit menggerakkan pelbagai program kebajikan dan bantuan buat guru di seluruh Malaysia.

Inisiatif eksklusif ini terbuka kepada guru dan kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang diluluskan serta guru Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat mendedahkan ramai golongan pendidik sudah pun menikmati kelebihan kad berkenaan dalam urusan harian mereka, terutama dalam aspek penjimatan.

“Kita semua dinasihatkan supaya berbelanja secara berhemah ketika ekonomi tidak menentu dan ini merupakan salah satu caranya kerana BSN TeachersCard menawarkan keistimewaan yang berbeza berbanding kad kredit lain.

“Kebanyakan kad kredit di pasaran mengenakan kadar keuntungan sehingga 18 peratus setahun, tetapi BSN TeachersCard pula ditawarkan secara eksklusif kepada guru dengan kadar tahunan serendah 8.88 peratus setahun,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan warga pendidik agar tidak salah faham dengan kemudahan yang diberikan itu.

“Kita tidak menggalakkan guru berhutang, sebaliknya ia adalah salah satu aspek pengurusan kewangan yang baik dan berbaloi untuk jangka masa panjang,” tambahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top